Wanita UMNO Segamat Terus Mengorak Langkah, Muafakat Jana Kejayaan Kelak – Norshida

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata anggota parti akan terus bergerak dengan semangat yang ada dalam usaha membantu parti bergerak ke depan.

Menurut beliau dalam apa jua keadaan dan situasi Wanita UMNO tetap setia dan terus cekal mengharungi pelbagai cabaran bersama kepimpinan setiap lapisan peringkat dengan pelbagai pendekatan.

“Dipuji tak terbang, dicela tak tumbang. Kami bertudung merah kerana bangga mewakili Wanita UMNO untuk setiap usaha yang kami lakukan.

“Peranan wanita bukan sahaja terhad untuk ahli parti tetapi perwatakan seorang wanita, seorang ibu menjadi pelengkap dan pelindung buat mereka yang memerlukan tidak kira bangsa mahupun berlainan ideologi politik.

“Seorang wanita yang kuat membela dirinya sendiri. Wanita yang lebih kuat membela orang lain,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya menambah pelbagai program dalam masa tedekat bakal dilaksana termasuklah persidangan cawangan Wanita UMNO di samping gerak kerja lain di bahagian Segamat.

Paling penting tambah beliau adalah komitmen dan kerjasama seluruh barisan yang ada di Segamat termasuklah sokongan Ketua UMNO bahagian, Datuk Zahari Sarip bersama anggota parti yang lain untuk bermuafakat bergerak ke depan.

“Terima kasih Datuk Zahari Sarip hadir program kami, sesungguhnya kehadiran dan ucapan beliau memberi suntikan semangat buat keluarga besar kami. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Semoga segala penat lelah kita akan mendapat hasil yang baik nanti insha Allah,” tambahnya.

Terdahulu berlangsung taklimat persidangan dan bacaan Yassin Wanita UMNO Segamat yang dihadiri pimpinan Wanita UMNO setempat. – UMNO Online 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.