Tambang Mahal, Bung Moktar Gesa Kerajaan Kawal Harga Tiket Penerbangan

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meluahkan rasa terkejut dengan harga tiket penerbangan yang didakwa terlalu mahal untuk perjalanan ke Sabah dan Sarawak terutamanya pada musim cuti sekolah atau hari perayaan.

Katanya, ini bukan isu baharu iaitu apabila cuti sekolah atau musim perayaan maka harga tiket penerbangan akan melambung tinggi sehingga membebankan pengguna yang menggunakan penerbangan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Ini bukan isu baharu tapi kerap berlaku, malah berulang kali saya suarakan di sidang Dewan Rakyat. Harga tiket penerbangan antara Sabah dan Semenanjung terutama apabila cuti sekolah atau di musim-musim perayaan harga tiket penerbangan kelas ekonomi sahaja antara Sabah ke Kuala Lumpur mencecah hingga RM3,800 untuk sehala perjalanan.

“Begitu juga harga tiket biasa akan naik melambung tinggi adalah tidak masuk akal,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah di-Raja di Dewan Rakyat semalam.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah menyifatkan perbuatan syarikat penerbangan terbabit tidak ubah seperti ‘menghisap darah’ rakyat, khususnya ketika musim perayaan dan semasa cuti sekolah.

“Masyarakat dari Sabah mengadu dan mengeluh dengan fenomena sebegini, cukup-cukuplah ‘hisap darah’ rakyat, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku dan ini sudah tentu akan membebankan ibu bapa yang anak-anak mereka belajar di Semenanjung untuk balik ke Sabah semasa cuti sekolah atau universiti termasuk pada musim perayaan utama,” katanya.

Sehubungan itu Bung meminta kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan melihat perkara ini secara lebih serius.

“Jangan sampai membebankan rakyat sehingga terpaksa berbelanja lebih tinggi untuk membeli tiket penerbangan dalam ekonomi negara yang semakin mencabar ketika ini.”

Bung Moktar menambah, ramai rakyat Sabah di Semenanjung yang mahu balik ke Sabah namun terpaksa membatalkan hasrat itu akibat tidak mampu membeli tiket penerbangan kerana terlalu mahal.

Justeru, beliau meminta supaya Kementerian Pengangkutan memberi perhatian segera dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan isu harga tiket penerbangan berkenaan.

“Siapa pun syarikat penerbangan yang melakukan operasi tolong jangan terlalu mengaut keuntungan, jangan dera rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.