Kerajaan Sedang Tambah Baik Sistem Saraan PDRM – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kerajaan sedang menambah baik sistem saraan anggota polis berstrukturkan gaji, elaun dan kemudahan lain.

Menurutnya, dengan kenaikan Bantuan Sara Hidup (Cola) ini juga dipercayai mampu untuk menyuntik semangat kerja yang lebih positif dan menaikkan motivasi penjawat awam secara keseluruhannya dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Kerajaan kini sedang dalam pelaksanaan kajian sistem saraan perkhidmatan awam termasuk anggota polis untuk menambah baik sistem saraan berstruktur gaji, elaun dan kemudahan. Kajian secara intensif ini merangkumi semua anggota di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ianya juga meliputi kajian berkaitan dengan Cola yang pada masa kini diberi mengikut lokasi penempatan pegawai anggota pada kadar RM200 hingga RM350 sebulan.

“Kerajaan sedar kajian ini rendah jika dibandingkan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru maka kementerian telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menilai aspek ini termasuk di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa yang bertanyakan kadar maksimum elaun Cola kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa yang sama beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut menjawab soalan tambahan yang diajukan oleh Mohd Isam berkenaan bayaran insentif awal RM2,000 untuk penjawat awam dan insentif RM1,000 kepada pesara kerajaan.

“Dalam perkhidmatan PDRM semua pegawai yang telah bersara layak untuk menerima bayaran inisentif awal yang diumumkan oleh kerajaan sebanyak RM1,000 sepertimana yang dinikmati oleh persaraan awam lain termasuk anggota ATM (Angkatan Tentera Malaysia).

“Anggota PDRM yang tidak berpencen merupakan mereka yang diberhentikan atas sebab disiplin atau berhenti dalam tempoh yang tidak melayakkan diberi pencen adalah tidak layak untuk menerima insentif awal ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.