KEB 2024 Bukti UMNO Serius Perkasa, Sentiasa Usaha Perjuangkan Ekonomi Bumiputera – Jamal Nerubi

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ketua UMNO Bahagian Papar Datuk Jamal Nerubi berkata kejayaan pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 adalah hasil cetusan dan pemikiran dari UMNO yang serius memperjuangkan ekonomi bangsa.

Menurutnya, KEB ini merupakan kesinambungan yang pernah dianjurkan terdahulu dan UMNO telah menggariskan gagasan besar untuk negara terutamanya ekonomi bumiputera.

Jelasnya, UMNO sentiasa mengambil serius berkaitan ekonomi bumiputera serta memikirkan usaha bagi mempertingkatkan lagi masa depan bangsa dalam bidang terbabit.

“Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil serius untuk terus menjadikan ekonomi bumiputera ini sebagai petanda aras kemajuan bangsa. 

“Ini adalah satu tanggungjawab pada Presiden UMNO apabila Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berada dalam Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah selain dari beberapa kementerian dan ianya satu peluang untuk parti.

“UMNO ialah peneraju utama dalam membangunkan negara terutamanya anak-anak muda agar mengambil peluang berada dalam TVET,” katanya kepada UMNO Online ketika mengulas berkaitan KEB 2024 yang berlangsung dengan jayanya.

Ujarnya, KEB adalah ruang yang sangat sesuai untuk kerajaan mengambil semua pandangan yang melibatkan pelbagai kluster.

“Sudah tentu dan pasti akan ada usaha untuk melihat bagaimana cara kita terus membimbing semua kluster-kluster yang terlibat dalam KEB ini supaya suara dan keperluan mereka terus diperjuangkan sehingga berjaya,” katanya lagi

Pada masa yang sama Jamal harapkan bumiputera yang berada di Sabah dan Sarawak juga dapat melibatkan diri dengan lebih aktif dalam sektor ekonomi bumiputera.

“Saya harap semua kaum termasuk bumiputera yang berada di Sabah dan Sarawak melibatkan diri dan menuju pada suatu yang baharu terutama sekali dalam ekonomi bumiputera,” ujarnya.

Untuk rekod, KEB 2024 telah dianjurkan selama tiga hari mulai 29 Februari sehingga 2 Mac 2024.

Pelbagai keluhan dan cadangan telah dilontarkan oleh perwakilan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang melibatkan ahli politik, golongan profesional, usahawan dan wakil GLC. Kongres Ekonomi Bumiputera juga berjaya membuka mata tentang kedudukan golongan bumiputera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.