KEB 2024: UMNO Main Peranan Tepat, Angkat Martabat Bumiputera – Syed Mohd Johan

PUTRAJAYA, 5 Mac – Pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 membuktikan bahawa UMNO memainkan peranannya dengan tepat untuk mengangkat martabat kaum bumiputera.

Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, masih ada titik kelompongan dan kelemahan perlu diperbaiki kerana cabaran yang didepani negara adalah cukup berbeza dengan 50 tahun dahulu.

“Alhamdulilah kita dapat hadir untuk bersama-sama dengan agenda kerajaan dan juga parti UMNO yang sentiasa memikirkan tentang pemerkasaan bumiputera. Saya lihat ucaptama Timbalan Perdana Menteri pada Khamis menggariskan hala tuju baru, bagaimana untuk kita meningkatkan peranan dan pemerkasaan bumiputera dalam konteks Malaysia hari ini yang mendepani cabaran berbeza dari apa telah digarapkan 50 tahun dahulu oleh Tun Razak.

“Jadi, kali ini kita melihat agenda pemerkasaan bumiputera telah menjangkau apa yang sepatutnya dilakukan dengan lebih lagi. Masih ada titik-titik kelemahan yang kita lihat daripada agenda ekonomi baharu sebelum ini yang perlu diperkasakan semula,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, agenda pemerkasaan bumiputera ini penting kerana ianya akan memberikan limpahan nikmat kemakmuran ekonomi kepada semua kaum di Malaysia.

“Saya merasakan perkara ini penting untuk diangkat kerana bumiputera merupakan masyarakat yang dominan di negara ini. Tanpa kestabilan ekonomi kumpulan terbesar ini sudah pastinya negara akan berada dalam situasi yang kurang stabil.

“UMNO merupakan sebuah parti yang menjadi tunjang orang Melayu dalam kerajaan hari ini. Saya kira ianya memainkan peranan yang tepat untuk kali ini bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan supaya hala tuju kerajaan ini tidak lari daripada keutamaan dan mengikut perlembagaan… bumiputera mempunyai hak-hak yang telah ditentukan oleh perlembagaan maka apa jua perjalanan kerajaan hari ini mesti bertitik-tolak dengan kestabilan dan kehendak bumiputera itu sendiri.

“Ini adalah satu agenda nasional yang perlu diangkat bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi peranan, pandangan dan sokongan daripada bangsa lain juga penting kerana bumiputera ini merupakan payung kepada semua bangsa dalam negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan UMNO untuk terus menjadi benteng kepada perjuangan Melayu-Islam dan tempat rakyat bergantung harap.

“Tanpa bumiputera yang cemerlang dan mempunyai kedudukan selari dengan bangsa-bangsa lain saya kira akan menjadi satu kelompongan, jurang bangsa yang cukup tinggi daripada semua segi terutamanya ekonomi.

“Untuk UMNO, ini menjadi agenda utama untuk tahun ini tambahan pula tidak lama lagi kita akan memulakan agenda mesyuarat cawangan dan juga bahagian. Saya percaya agenda bumiputera ini akan terus kita bawa ke peringkat akar umbi.

“UMNO hari ini walaupun mungkin bukan parti yang dominan dalam kerajaan tetapi tugasnya dalam perjuangan agama, bangsa dan negara ini perlu diteruskan kerana orang masyarakat Melayu-Islam dalam negara ini hanya ada UMNO untuk bergantung harap. Jadi UMNO jangan lupa peranan itu selain daripada melihat kestabilan politik dalam kerajaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.