KEB 2024 Iltizam Kerajaan Lonjakkan Pencapaian Ekonomi Bumiputera – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kejayaan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 Sabtu lalu memperlihatkan iltizam kerajaan dalam usaha melonjakkan lagi pencapaian ekonomi bumiputera.

Bagi beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu, tiga matlamat, enam tekad dan tiga ikhtiar pemerkasaan bumiputera yang dizahirkan adalah bagi menjamin penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam negara.

“Kita dapat lihat bagaimana usaha pengukuhan pasak ekonomi negara, kerukunan tatakelola institusi dan menegakkan keadilan kemanusiaan dibincangkan. Seperti kata Perdana Menteri, kita mesti mampu mencipta lebih banyak usahawan bumiputera yang mengungguli industri pada peringkat antarabangsa.

“Masalah tanah rizab Melayu juga turut disentuh dan diputuskan dengan PNB diamanahkan untuk memacu pembangunan komersial tanah-tanah rizab Melayu.

“Kerajaan ini juga kekal mengangkat pemilikan tanah di kawasan metropolitan. Justeru, tanah rizab Melayu sebanyak 50 ekar telah diumumkan di Bandar Malaysia, yakni suatu kawasan komersial berstatus mewah, moden dan bernilai tinggi yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Pada masa yang sama beliau turut tertarik dengan kecaknaan Perdana Menteri terhadap Felda apabila anak-anak peneroka turut disebut agar tidak dipinggirkan bagi mengikuti usaha-usaha dan dasar berkaitan pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

Selain itu, katanya lagi turut diumumkan juga penubuhan Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran RM100 juta yang akan dinaungi oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.

“Kita juga tertarik dengan Suruhanjaya Pekerja Gig yang ditubuhkan yang akan membincang dan menyelesaikan isu-isu berbangkit terhadap 1.12 juta orang pekerja Gig di Malaysia.

“Bagi memastikan semua pengumuman ini dilaksanakan dengan lancar dan teratur, maka Majlis Ekonomi Bumiputera akan memantau perjalanan dan pelaksanaan secara dekat dengan dibantu oleh Timbalan Perdana Menteri 1 dan Menteri Ekonomi,” katanya.

Tambahnya lagi sebagai Ahli Dewan Rakyat, beliau berharap usaha susulan ini lebih memberi makna terhadap kelas ekonomi bumiputera di negara kita secara keseluruhannya dan pada masa yang sama, diharapkan semua bangsa dapat sering bahu membahu untuk mensejahterakan kehidupan sejagat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.