Jangan Terpesona Janji Bulan Bintang, Teruskan Tekad Dalam Perjuangan UMNO – Sharif Musa

LAHAD DATU, 5 Mac – Rakyat khususnya masyarakat Sabah digesa untuk tidak terpesona dengan pelbagai janji-janji politik sebaliknya lihat pada bukti sebagaimana yang dilaksanakan UMNO/Barisan Nasional (BN) ketika mentadbir suatu ketika yang lalu.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, sejak UMNO bertapak di Sabah, pelbagai pembangunan dalam dan luar bandar dapat dirasai malah sehingga ke hari ini kesannya dapat dilihat.

Ujarnya, dalam suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin dekat maka pelbagai pihak mula tampil dengan macam-macam janji sedangkan manifesto yang sebelum ini masih gagal dilaksana biarpun rakyat telah memberi mandat.

“Pilihan raya Sabah semakin dekat maka, sudah pasti banyak parti-parti akan menawarkan janji bulan dan bintang untuk menawan hati semua rakyat.

“Hari ini UMNO Sabah masih dilihat sebagai parti yang eksekutif. Sejak bertapak di bumi Sabah, satu ‘track record’ UMNO Sabah telah terlakar apabila UMNO Sabah tidak pernah kalah bertanding dalam pilihan raya. Dalam hal ini, hanya segelintir calon-calon UMNO yang membawa kerusi yang dimenangi sahaja telah melompat ke parti yang lain dan kita tidak mahu ia berulang.

“Seperti yang sedia maklum, kebanyakan rakyat Sabah sudah mengetahui bahawa sehingga hari ini terdapat masalah yang dihadapi terutamanya berkaitan dengan masalah asas seperti jalan raya yang tidak diselenggara, ketiadaan air, masalah bekalan elektrik dan lain-lain lagi yang merupakan keperluan asas rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Sharif Musa, UMNO/BN terbukti parti yang menunaikan janji malah keutamaan kepada rakyat sentiasa dilaksana.

“Kita sering mengingatkan kepada mereka bahawa apabila UMNO berjanji dalam manifesto maka sudah pasti akan ditunaikan.

“Antara janji UMNO yang telah ditepati ialah universiti-universiti di Bumi Sabah telah diwujudkan, pusat pendidikan anak-anak termasuk di luar bandar, masjid-masjid telah dibina, banguan Ketua Menteri Sabah dibangunkan dan jalan Pan Borneo diwujudkan.

“Selain itu, janji UMNO yang dibuat iaitu membela keperluan rakyat Sabah juga telah ditepati sehingga anak dalam kandungan mendapat bantuan melalui Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).”

Dalam perkembangan terbabit, beliau memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Lahad Datu akan menganjurkan program UMNO Prihatin ‘Simpanan Hari Persaraan Rakyat’ dan ‘Back To School’ dengan tekad untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Semoga program ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan tahun 2024.

“Bagi masyrakat di kawasan Lahad Datu yang tidak mempunyai KWSP boleh membuka akaun simpanan wang untuk persaraan pada hari tua semasa program ini dijalankan.

“Insya-Allah, janji tetap ditepai dan khidmat kepada rakyat sentiasa diberi,” katanya lagi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat GiatMARA Bahagan Labuan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.