Tabung Wakaf MARA MADANI Libatkan Semua Bumiputera, Tolak Politik Retorik – Ghulam

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 telah menutup tirai pada Sabtu lepas yang melibatkan hampir 80 resolusi dibentangkan dalam 10 kluster merangkumi semua sektor berkaitan agenda Bumiputera dengan topik ekonomi, pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kesejahteraan disentuh secara terperinci.

KEB sarat dengan dapatan, maklum balas, pandangan, idea dan pemikiran di luar kotak yang hasilnya pada majlis penutupan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta dan menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Dalam hal ini, Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar menolak pelbagai dakwaan negatif berkaitannya malah menegaskan bahawa KEB 2024 bukan hanya untuk penyokong kerajaan atau orang UMNO sahaja tetapi ia adalah untuk semua melibatkan golongan Bumiputera.

“Tapi biasalah ada sahaja yang tidak puas hati, kata kongres ini NATOlah, retoriklah, gagallah dan macam-macamlah, tetapi percayalah apabila dasar atau polisi dari KEB 2024 dijayakan atau dilaksanakan merekalah orang yang paling awal atau beratur dibarisan pertama untuk ambil kesempatan.

“Sebab apa? Sebab KEB 2024 bukan hanya untuk penyokong kerajaan atau untuk orang UMNO sahaja, ianya merangkumi semua umat Bumiputera di Malaysia tak kira apa latar belakang politik,’engkau ahli Paskah, Bersatukah, asal sahaja nama Bin atau Binti Melayu maka layak untuk apa juga yang dicetuskan ketika KEB 2024,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit, hari ini.

Berbalik kpd KEB 2024 katanya, Tabung Wakaf MARA MADANI bertindak sebagai muamalat dengan mengunakan instrumen patuh syariah iaitu wakaf dalam permerkasaan agenda Bumiputera.

“Tabung Wakaf MARA MADANI ini juga boleh diibaratkan sebagai katalis ekosistem dan struktur MARA dalam tempoh 50 tahun mendatang selepas MARA menyambut ulang tahun ke-58 baru-baru ini. Dengannya ukhrawi dan duniawi, dua dalam satu iaitu Islam dan Melayu diperkasakan.

“Sebelum KEB 2024, saya pernah menulis artikel dgn mencadangkan Bank MARA perlu diwujudkan, tetapi KEB 2024 menjelmakan sesuatu yang lebih baik iaitu Tabung Wakaf MARA MADANI untuk hadiah dan legasi yang bagus bagi orang Melayu dan Bumiputera.

“Terima kasih dan Tahniah YAB Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, YB Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki iaitu watak utama untuk KEB 2024. Kita buktikan UMNO bukan NATO atau retorik, ‘we walk a talk’,” katanya lagi.

Dilaporkan, dalam ucapan penutup keb 2024, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan Wakaf Majlis MARA MADANI dalam usaha memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keusahawanan bagi golongan Bumiputera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.