Perkukuhkan Perpaduan, Tolak Agenda Politik Berkepentingan – Azuwan

KOTA BELUD, 4 Mac – Badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai peranan penting membantu kerajaan mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan berkata penerapan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat tidak hanya terletak pada bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya setiap rakyat berperanan penting untuk mengamalkan tanggungjawab berkenaan.

Sehubungan itu beliau berkata penubuhan pelbagai persatuan atau pertubuhan yang dilakukan oleh komuniti setempat amat digalakkan dengan peranan utamanya ke arah menjalin kerjasama bukan sahaja untuk kepentingan persatuan tetapi juga untuk kesatuan pelbagai pihak.

“Keamanan yang lahir hasil perpaduan rakyat negeri dan negara ini perlu dijaga serta dikekalkan dengan mengelak daripada salah faham dan pertelingkahan yang boleh memudaratkan serta memecah-belah masyarakat.

“Justeru persatuan yang ditubuhkan tidak kira sukan, kebudayaan dan sebagainya matlamatnya adalah untuk perpaduan,” katanya ketika berucap melancarkan Kelab Badminton 5-Star Kota Belud, dekat sini baru-baru ini.

Menurut Azuwan yang juga Pengerusi Gabungan Kelab-kelab Belia Daerah Kota Belud, sekiranya tanpa perpaduan dan keamanan maka usaha membangunkan negeri serta negara tidak akan dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Beliau berkata, UMNO khususnya di Bahagian Kota Belud sentiasa menyokong usaha NGO menerusi penganjuran program seumpamanya yang mampu menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan mengeratkan silaturahim.

“Diharapkan persatuan ini bukan sahaja memfokuskan kepada kegiatan sukan semata-mata tapi juga mempelbagai program bagi membantu masyarakat majmuk di negeri ini.

“Dalam sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum, sudah tentu wujud perbezaan dalam pelbagai aspek kehidupan namun rakyat negara ini perlu melihat perbezaan itu sebagai keunikan dan mana-mana pertubuhan NGO termasuk badan politik perlulah mengelak isu-isu sensitif yang melibatkan hal-hal agama, bangsa dan sebagainya,” katanya.

Azuwan yang juga Pengerusi Majlis Belia dan Daftar Pemilih Baharu UMNO Sabah, turut memberi amaran kepada pihak yang suka mencetuskan isu sensitif khususnya berkaitan kaum, agama dan rasis kepada bangsa lain agar menghentikan perbuatan mereka kerana ia boleh menjejaskan perpaduan.

“Kita bimbang budaya ini menjadi ancaman kepada nilai perpaduan, keamanan dan keharmonian yang kita bina selama ini, malah kita menolak pihak yang memainkan sentimen anti-Malaya kerana ia hanya akan merencatkan konsep Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.