Kenaikan SST: Tingkatkan Pemantauan Elak Manipulasi Bebankan Pengguna – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kerajaan menerusi pelbagai agensi yang berkaitan diharap dapat melaksanakan pemantauan dan penelitian secara mendalam terhadap kesan perubahan kadar cukai bagi mengelakkan ianya diambil kesempatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, kata Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurut beliau walaupun perubahan kadar cukai tersebut akan meningkatkan pendapatan negara dan ianya dikembalikan kepada rakyat kelak menerusi pelbagai bentuk, namun ianya dikhuatiri diambil peluang oleh mereka yang tidak sepatutnya.

“Saya berharap kita dapat memperhebatkan usaha atau operasi bagi memantau kesan pelaksanaan perubahan kadar cukai ini secara drastik dan besar-besaran.

“Ia bagi memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan untuk mencatut atau membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan perundangan pencatutan,” katanya kepada UMNO Online menerusi satu kenyataan.

Kata beliau lagi fokus penguatkuasaan bukan sahaja meliputi sektor-sektor yang terlibat dengan perubahan kadar cukai perkhidmatan dan keseluruhan rantaian perkhidmatan yang berkaitan, malah sektor-sektor yang tidak terlibat dengan perubahan ini juga wajar dipantau secara ketat.

Ini katanya bagi mengelak ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan mereka walaupun barang dan perkhidmatan tersebut terkecuali daripada proses perubahan 8.0 peratus tersebut.

“Sebelum ini kadar SST yang dikenakan kepada kita ialah pada ketetapan 6.0 peratus. Manakala kadar baharu cukai tersebut ialah 8.0 peratus berkuat kuasa 1 Mac 2024.  Namun harus kita maklum bahawa perubahan tersebut tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta dan logistik.

“Felo Penyelidik International Centre for Education in Islamic Finance (Inceif), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Nurazilah Zainal berpandangan perubahan kadar SST itu sememangnya baik untuk pertumbuhan ekonomi bagi menampung perbelanjaan negara. (Menurut laporan Utusantv pada 29 Februari 2024 : https://utusantv.com/2024/02/29/kenaikan-sst-penting-untuk-ekonomi-beri-kesan-pada-pengguna/)

“Ia juga merupakan langkah kerajaan bagi memastikan kadar defisit dan paras hutang negara kekal berada pada tahap yang rendah. Kita harus akui, perubahan kadar sebanyak dua peratus ini dijangka memberi tambahan pendapatan negara sebanyak RM3 bilion bagi tahun ini.”

Yang pasti katanya, pertambahan pendapatan yang dapat dihasilkan ini akan dikembalikan kepada rakyat melalui proses seperti menambah baik infrastruktur, penjagaan kesihatan dan pendidikan rakyat negara kita.

“Semoga dengan keputusan kerajaan ini, kita dapat memberi lebih banyak hasil dan merapatkan jurang belanjawan Malaysia dengan berkesan, dan dalam masa yang sama kita meraikan pandangan rakyat mengenai perubahan kadar cukai ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.