UMNO, BN Mahu Letak Calon Jika PRK- Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 3 Mac – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan meletakkan calon di enam kawasan Parlimen yang ketika ini disandang Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Perdana Menteri, sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Presiden UMNO itu berkata, ia berikutan kawasan Parlimen Kuala Kangsar, Gua Musang, Labuan, Jeli, Bukit Gantang dan Tanjung Karang itu adalah kerusi tradisi parti diketuainya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya akan melihat kepada keputusan mahkamah terlebih dahulu berhubung pindaan perlembagaan BERSATU berkaitan pengosongan enam kerusi parlimen berkenaan.

“(Enam) kerusi itu adalah kerusi yang dahulunya dipegang oleh UMNO, jadi kita akan mengadakan perundingan dengan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menentukan jika ada pengosongan kerusi terbabit, pasti ia untuk mendapatkan semula (kerusi) dan memberi keutamaan kepada calon UMNO serta BN,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas menyempurnakan pameran mini dan penyerahan kit perniagaan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, hari ini.

Semalam, BERSATU dilaporkan meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyifatkan pindaan dibuat BERSATU adalah balasan Allah terhadap pengkhianatan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Saya fikir pindaan yang dibuat oleh parti itu adalah balasan daripada Allah kerana dahulu Setiusaha Agung (Hamzah) membawa Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti berkenaan.

“Kini, tanpa sebarang usaha pun daripada pihak UMNO dan BN, kita lihat enam orang daripadanya bersama menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Balasan inilah yang akhirnya kita akan lihat biar pun mereka buat usaha untuk Ahli Parlimen parti mereka untuk mengosongkan kerusi, tetapi tentunya pengosongan ini tak boleh berlaku kerana ia masih tertakluk kepada peraturan Parlimen sendiri dan Perlembagaan negara,” katanya.

Semalam, Syed Abu Hussin dilaporkan berkata, enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan terhadap Anwar bertegas untuk tidak mengosongkan mana-mana kerusi sehingga mahkamah memutuskan untuk berbuat demikian.- Bharian

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.