Mesyuarat UMNO: Pindaan Fasal 5 Tambah Baik Peraturan Pendaftaran Keahlian – Mohamed Khaled

PUTRAJAYA, 1 Mac – Mesyuarat UMNO Cawangan-cawangan akan bermula 22 April sehingga 2 Jun depan yang julung kalinya akan mengguna pakai pindaan Perlembagaan UMNO pada Fasal 5 yang telah diluluskan pada Jun 2023 lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa UMNO telah melakukan pindaan Perlembagaan UMNO pada Fasal 5 untuk menambah baik peraturan pendaftaran keahlian parti.

Jelasnya, pindaan tersebut telah diluluskan pada tahun lepas dan ianya dilakukan agar penambahbaikan dapat dilakukan dari semasa ke semasa.

“Saya ingin menyampaikan sedikit sebanyak perkembangan mengenai usaha kita untuk melakukan pindaan kepada Perlembagaan UMNO khususnya dalam soal pendaftaran keahlian.

“Seperti yang kita sedia maklum, kita telah meluluskan pindaan perlembagaan parti pada tahun lepas dan perkara ini melibatkan Fasal 5 perlembagaan yang menetapkan pendaftaran ahli dibuat melalui peraturan.

“Ini adalah bagi membolehkan soal pendaftaran ahli di bawah peraturan ini dilakukan penambahbaikan pada bila-bila masa kerana ia hanya memerlukan kelulusan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat di Majlis Minum Petang dan Taklimat Persidangan UMNO Cawangan bagi tahun 2024.

Jelasnya, pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi menuntut agar pindaan perlembagaan tersebut dilaksanakan.

“Kita tahu bahawa kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah pada masa ini. Dari semasa ke semasa cabaran itu menuntut kita melakukan penambahbaikan kepada segala peraturan.

“Jadi parti telah membuat keputusan supaya perkara yang melibatkan pindaan ataupun pendaftaran keahlian di bawah peraturan dan seperti perkara lain sebagai contoh persidangan sayap. Semuanya hanya memerlukan kelulusan daripada MKT.

“Maknanya pada bila-bila masa penambahbaikan boleh dilakukan. Jadi, kita telah melalui proses perkara itu diluluskan oleh perlembagaan dan jawatankuasa perlembagaan parti telah berbincang serta bermesyuarat,” katanya.

Pada 9 Jun 2023 UMNO menerusi perhimpunan khas yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 telah meluluskan usul pindaan perlembagaan parti yang membabitkan beberapa fasal utama termasuk memudahkan permohonan keahlian.

Pindaan yang dibentangkan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendapat sokongan sebulat suara perwakilan yang hadir membabitkan Fasal 5, Fasal 10 dan Fasal 18.

Beliau berkata, Fasal 5 adalah peruntukan mengenai pendaftaran keahlian yang mempunyai 12 perkara dengan sebahagian besar peruntukan itu bersifat pentadbiran atau `administratif’ yang berkaitan dengan proses permohonan untuk menjadi ahli UMNO.

Katanya, melalui pindaan terbabit, semua perkara yang berkaitan dengan keahlian UMNO selepas ini akan dipindahkan ke dalam satu peraturan baharu yang akan dikeluarkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.