Pemuda UMNO Perlu Berada Di Landasan Yang Betul Bagi Meneruskan Perjuangan – Awang Aslee
KOTA KINABALU, 29 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO perlu berada di landasan yang betul bagi meneruskan serta mewarisi perjuangan parti demi bangsa, agama dan negara.
Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, untuk memikul tanggungjawab berkenaan, pemuda perlu ada semangat perjuangan yang kental berintegriti, berani dan bekerja keras bagi mencapai cita-cita demi kembali menjadi peneraju kepimpinan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Untuk melihat UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerintah Sabah, tanggungjawab pemuda adalah bekerja secara ikhlas dan jujur kerana perjuangan parti mesti diwarisi kepada orang muda.
“Apa yang kita buat hari ini akan menentukan masa hadapan, maka bekerjalah bersungguh-sungguh dan menghayati wadah perjuangan parti,” katanya ketika berucap pada majlis permukiman Pergerakan Pemuda UMNO Sabah di bangunan UMNO dekat sini, baru-baru ini.
Program yang disertai empat kepimpinan utama dari 25 bahagian Pergerakan Pemuda UMNO Sabah itu berlangsung selama tiga hari.
Semasa berucap pada program tersebut, Awang Aslee yang merupakan bekas Ketua Penaja Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kimanis seawal parti mula bertapak di Sabah turut berkongsi pengalamannya bersama peserta permukiman.
Menurut beliau apa yang penting dalam perjuangan ialah soal prinsip perjuangan dan kesetiaan dalam parti walau banyak cabaran dihadapi namun ianya perlu dilalui dengan semangat serta jati diri yang kukuh iaitu setiap cabaran pesti akan memantangkan kepimpinan sebagaimana yang beliau lalui dari kilang pemuda dan kini menjadi Ketua UMNO bahagian Beaufort.
“Memang banyak cabaran dan dugaan perlu kita (pemuda) hadapi dalam perjuangan namun yang paling penting ialah prinsip dan keutamaan kepada parti yang akan memberi pengalaman dan mematangkan pemikiran seseorang pemimpin untuk memimpin sebuah organisasi yang besar,” katanya.
Menurutnya Pemuda UMNO adalah tunjang kepada barisan pelapis kepimpinan dan masa depan negara, justeru dalam era serba mencabar Pemuda UMNO perlu menjadi teras kebangkitan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
“Pemuda UMNO juga perlu membina iltizam, kekuatan, kesepaduan, kejituan dan kesepakatan dalam setiap gerak langkahnya agar menjadi cerminan kepada teras perjuangan parti keramat UMNO sejak sekian lama.”
“…berjuang habis-habisan agar setiap gerak langkah menjadi cerminan kepada teras perjuangan parti keramat UMNO sejak sekian lama,” katanya.
Oleh: Jaafar Abd Wahid