Parlimen: Mohd Shahar Junjung Titah Agong, Henti Berpolitik Terus Fokus Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar Ahli-ahli Parlimen untuk tidak hanya mementingkan diri dan parti, sebaliknya fokus kepada kebajikan rakyat.

Beliau berkata dalam titah itu juga, Seri Paduka Baginda turut sama menyentuh berkenaan penyelesaiaan yang perlu dilakukan kerajaan berkenaan hutang negara.

“Patik menjunjung titah diraja yang memfokuskan kepada nasib rakyat, bukan parti politik dan diri sendiri.

“Seri Paduka Baginda juga bertitah supaya kerajaan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah hutang negara yang menjadi perkara yang sering diperkatakan. Daulat Tuanku!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Kenyataan itu diberikan selepas titah Sultan Ibrahim ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Mohd Shahar juga turut sama mendoakan semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan keafiatan kepada Sultan Ibrahim supaya terus menjadi tunjang kepada kestabilan negara yang sentiasa meletakkan nasib rakyat sebagai hala tuju utama kepada Ahli-ahli Parlimen.

Terdahulu, Sultan Ibrahim pada titah pagi tadi menegaskan bahawa Baginda tidak akan melayan hasrat daripada mana-mana pihak yang mahu menganggu pentadbiran kerajaan.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa semua pihak harus menunggu Pilihan Raya Umum yang akan datang untuk berpolitik.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.