Misi Delegasi Malaysia Berjaya Sampai Ke Sempadan Lintasan Rafah-Gaza

RAFAH, 24 Feb – Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Mohamad Alamin bersama empat Ahli Parlimen Malaysia telah mengadakan lawatan khas ke sempadan lintasan Rafah semalam.

Lawatan ini adalah untuk melihat dengan lebih dekat situasi sebenar di kawasan yang menjadi satu-satunya akses koridor kemanusiaan daripada masyarakat antarabangsa ke Gaza melalui Mesir, termasuklah bantuan kemanusiaan Malaysia di bawah Ops Ihsan.

“Lawatan ini juga bertujuan memantau penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia dalam fasa kedua dalam bentuk 100,000 pek makanan asas yang sedang giat dilaksanakan di gudang Ops Ihsan di Kaherah,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.

Katanya, delegasi terbabit telah melalui perjalanan hampir 13 jam dari Kaherah seawal 4.00 pagi dengan melalui 13 ‘checkpoint’ keselamatan pihak Mesir yang cukup ketat.

Sejurus tiba di pintu sempadan Rafah, beliau telah ditemuramah oleh dua agensi berita Mesir iaitu Al Qaherah News dan Extra News.

“Semasa sesi temuramah berlangsung, jelas kedengaran bunyi dentuman roket dari dalam wilayah Semenanjung Gaza.

“Selain dapat melihat dengan lebih dekat proses kemasukkan trak-trak yang membawa bantuan kemanusiaan dari Mesir ke Gaza, delegasi juga menyaksikan proses pemindahan rakyat Palestin dari Gaza ke Mesir yang memerlukan rawatan dan akses perubatan yang dikendalikan bersama antara Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir dengan rakan strategik antaranya seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin.

“Lebih penting lagi keberadaan kami ini memperlihatkan kepada dunia, kesepakatan rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan dan parti politik akan pendirian dan sokongan tidak berbelah bagi Malaysia dalam memperjuangkan isu Palestin.”

Katanya, sepanjang perjalanan ke Rafah, delegasi melihat barisan hampir 3,000 trak bantuan kemanusiaan yang menunggu giliran di sepanjang pinggir jalan raya menuju Rafah yang hampir 4 km panjangnya.

“Lawatan ini juga sebagai pengiktirafan kepada peranan konstruktif Mesir dalam mencari solusi perdamaian konflik Israel-Palestin serta dalam mengendalikan akses koridor kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza pada ketika ini.

“Moga lawatan ini akan mendorong Mesir dan masyarakat antarabangsa amnya, untuk mencari penyelesaian tuntas kepada isu Palestin.”

Terdahulu, Mohamad bersama Tarek Arafat, iaitu Palestinian Red Crescent Society (PRCS) menziarahi mangsa perang Gaza di Hospital Mesir.

“Sedih dan sayu melihat keadaan mangsa kezaliman rejim Zionis Israel dan berharap semuanya terus kuat menghadapi ujian yang berat ini.

“Saya doakan agar mereka segera sembuh,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya pula. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.