Kes Nik Elin: DUN Tidak Boleh Menggubal Undang-Undang Di Bawah Kuasa Parlimen – Shamrahayu

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh menggubal sesuatu undang-undang ataupun enakmen sekiranya ia berada di bawah bidang kuasa Parlimen, kata Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Jelasnya, petisyen yang telah difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid hanyalah berkisarkan mengenai bidang kuasa DUN menggubal undang-undang dan bukannya mempersoalkan ataupun mencabar mahkamah syariah.

“Perkara pertama yang kita perlu faham dahulu adalah tentang keputusan penghakiman tersebut. Apabila kita mahu menjawab persoalan sama ada ianya telah menghakis kedudukan mahkamah syariah atau institusi perundangan syariah di Malaysia ini, kita perlu lihat tentang kes itu sendiri dulu.

“Apakah keputusannya dan adakah segala kefahaman dalam khalayak itu sebenarnya benar. Ini merupakan satu kes yang melibatkan satu petisyen (permohonan) bahawa Dewan Undangan Negeri yang tidak mempunyai kuasa untuk menggubal 20 seksyen di dalam Enakmen Jenayah Syariah (1) di Negeri Kelantan.

“Persoalannya ialah tentang kuasa DUN. Ia tidak mempersoalkan tentang bidang kuasa mahkamah syariah ataupun hukum syarak. Hukum syarak ada dibincangkan cuma ianya bukan mempersoalkan mengenai hukum syarak,” katanya ketika sesi wawancara #HitamPutihKelabu di Facebook UMNO Online.

Menurutnya, 16 seksyen bagi kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dibatalkan kerana DUN Negeri Kelantan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat penggubalan.

“Ia adalah mempersoalkan sama ada DUN mempunyai kuasa untuk menggubal beberapa peruntukan yang ada. Pada awalnya 20 peruntukan dan kemudiannya digubal, digugurkan dua peruntukan dan kemudian dibawa dalam pendengaran Mahkamah Persekutuan… itu 18 peruntukan dan kemudiannya dikatakan 16.

“Tetapi, pada saya terdapat 17 seksyen yang dikatakan tidak sah kerana mahkamah memutuskan bahawa DUN Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal seksyen-seksyen terbabit. Ini kerana seksyen-seksyen terbabit berada dalam bidang kuasa Parlimen.

“Jadi jelas apabila sesuatu perkara itu berada dalam bidang kuasa Parlimen, maka DUN tidak boleh lagi menggubal undang-undang tersebut. Persoalan yang mengatakan bahawa keputusan tersebut telah menghapuskan atau mengurangkan kuasa mahkamah syariah itu kita perlu teliti dengan baik serta rapi dalam memberikan pandangan,” katanya lagi.

Pada 9 Februari lalu media melaporkan Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Terdahulu, Nik Elin, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.