Hubungan Erat Masyarakat Kunci Utama Bina Negara Bangsa, Ahmad Zahid Ucap Selamat Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat yang akan menyambutnya pada Sabtu dan Ahad ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hubungan dan erat dalam kalangan masyarakat merupakan kunci utama untuk membina negara bangsa yang berjaya.

“Kepelbagaian dan kemajmukan kita sebagai rakyat Malaysia adalah kekuatan yang perlu kita manfaatkan demi kemajuan negara.

“Hubungan yang erat dalam kalangan masyarakat merupakan kunci utama bagi kita membina negara bangsa yang berjaya,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebooknya.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia untuk menjadikan Tahun Baru Cina ini sebagai satu perayaan untuk memupuk kebersamaan dan menitikberatkan sikap saling hormat-menghormati.

“Berteraskan semangat Malaysia Madani, marilah kita bersama-sama menjadikan Tahun Baru Cina yang disambut ini sebagai satu perayaan untuk memupuk kebersamaan dan menitikberatkan sikap saling hormat-menghormati.

“Saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan atas segala pencapaian dan sumbangan daripada masyarakat cina terhadap pembangunan negara. Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.