Pemuda UMNO Kinabatangan Gesa Teroka Idea Baharu Untuk Majukan Sektor Pelancongan

SUKAU, 2 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan mengajak pemain industri pelancongan di Negeri Sabah khususnya di kawasan Kinabatangan agar meneroka idea-idea baharu untuk menghasilkan produk pelancongan bagi menarik, sekali gus memastikan Sabah terus menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

Ketuanya, Mohd Kurniawan Naim Bung Moktar berkata, langkah itu perlu sebagai persediaan sektor pelancongan negeri menerima pelancong berskala besar yang sudah tentu dapat meningkatkan ekonomi negeri dan rakyat melalui sektor terbabit yang menjadi antara sumber utama pendapatan negeri ini.

“Industri pelancongan merupakan sumber ekonomi kedua terpenting bagi negeri Sabah. Daerah Kinabatangan banyak potensi dan memiliki produk pelancongan yang telah sedia ada seperti aktiviti-aktiviti menyusuri Sungai Kinabatangan bagi melihat spesis kunang-kunang di samping budaya tempatan dan sebagainya.

“Selain itu banyak lagi produk pelancongan yang boleh diterokai antaranya menganjurkan aktiviti-aktiviti sukan seperti lumba perahu dan lain-lain,” katanya ketika berucap merasmikan Pertandingan Lumba Bot 15hp di Kampung Abai Sukau, baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan bersama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N59 Sukau dengan kerjasama belia Kampung Abai dan UMNO Bahagian Kinabatangan.

Menurut Mohd Kurniawan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelancongan Malaysia, pertandingan lumba bot yang dianjurkan ini boleh dilaksana dalam skala yang lebih besar pada masa akan datang dengan menjemput penyertaan dari luar.

“Langkah ke hadapan, kita perlu merealisasikan acara-acara yang lebih besar dengan berkolaborasi bersama pihak lain bagi menggalakkan penyertaan yang lebih ramai sekali gus dapat mengundang kehadiran pelancong bagi menyaksikan acara yang kita anjurkan di samping melihat keindahan alam yang ada di kawasan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama Mohd Kurniawan yang juga Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, masyarakat di kawasan itu juga perlu menyediakan produk-produk pelancongan yang lain antaranya makanan di samping mengambil bahagian dalam sektor inap desa ekoran terdapat keperluan penginapan bagi pelancong yang ingin bermalam di kawasan tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Kurniawan juga meminta kerajaan agar dapat mempertingkatkan kualiti kemudahan asas di daerah itu terutamanya kemudahan insfrastruktur jalan raya, bekalan air dan elektrik.

“Kemudahan asas ini penting untuk menjana sektor pelancongan berkembang maju di daerah ini, pelancong tidak akan datang jika jalan raya kita rosak dan sukar dilalui atau bekalan air dan elektrik tidak stabil kerana ketidaksempurnaan kemudahan asas akan merencatkan usaha kita membangun dan memajukan sektor pelancongan di daerah ini untuk berdaya maju,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.