Tidak Perlu Pakar Bukan Islam Dalam Jawatankuasa Mengkaji Undang-Undang Syariah

1. Tidak perlu pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah menurut Perlembagaan Persekutuan.

2. Cadangan YB Ngeh Koo Ham ini tidak berpijak di bumi yang nyata malah hanya bakal mencetuskan polemik yang tidak perlu dalam suasana harmoni rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

3. Sejak merdeka, Mahkamah Syariah adalah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam. Malah proses menambah-baik dan menaik taraf Mahkamah Syariah yang dilakukan sejak UMNO menerajui Kerajaan sentiasa dibuat secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

4. Malah sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah baik dari segi pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim dan pegawai mahkamah syariah, bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah, tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam.

5. Ini juga sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara dan pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan; pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini.

6. Justeru, berikanlah kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa ini kelak. Tentunya DYMM Tuanku Raja-Raja Melayu amat bijaksana dan pasti mengambil kira segala aspek termasuk bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengabsahkan terma-terma rujukan Jawatankuasa ini.

7. Apa jua dapatan jawatankuasa ini kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu setelah diteliti segala aspek yang terkait dengan Perlembagaan. Malah jika ada sebarang cadangan yang melibatkan pindaan Undang-undang mahupun Perlembagaan sekalipun, tentu sekali prosesnya akan turut melibatkan Ahli-ahli Parlimen Bukan Islam yang punya kuasa untuk membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan-cadangan yang terkait dengan penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agong UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.