UMNO/BN Hormat Keputusan PRK Kemaman, Iltizam Terus Timba Pengajaran

KUALA LUMPUR, 4 Dis – UMNO/Barisan Nasional (BN) menghormati keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kemaman dengan iltizam untuk terus menimba pengajaran daripadanya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan pilihan raya tersebut memberikan isyarat jelas tentang beberapa perkara dan trend.

“Pertama, UMNO masih jauh dari berjaya untuk mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu terhadapnya. UMNO menonjolkan seorang pahlawan bangsa, dengan rekod perkhidmatan yang sangat cemerlang. Namun tewas juga.

“Jelas, tugas mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah tugas sukar tetapi bukan mustahil. Tetapi buat masa ini, UMNO mesti menerima realiti bahawa orang Melayu masih jauh dari mempercayainya sebagai wakil politik mereka yang berkesan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, keputusan itu turut menyedarkan bahawa UMNO mesti mempunyai daya tahan untuk terus berada dalam perjuangan politik yang semakin dinamik.

“Kedua, keputusan itu juga menyedarkan UMNO bahawa ia mesti mempunyai ‘resilient’ atau ketahanan untuk terus berjuang dalam arena politik Melayu yang semakin dinamik. Kemaman adalah indikasi jelas bahawa mengembalikan kepercayaan bangsa Melayu ke pangkuan UMNO adalah perjalanan jauh, tidak ‘linear’ dan memakan masa panjang.

“Justeru, semangat, cara kerja, strategi, kepimpinan, semuanya perlu sentuhan, kecekalan baharu dan kesabaran, jika UMNO ingin bersaing untuk menjuarai semula pengaruh serta kepercayaan bangsa Melayu dalam politik.

“Ujian sebenar dalam semua ini ialah ujian ketahanan. UMNO tidak akan mudah menyerah apatah lagi berfikir, bahawa jalan keluar bagi meraih sokongan Melayu telah tertutup rapi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut melihat bahawa parti ini terus dijauhi oleh golongan muda dan sesuatu perlu dilakukan dengan segera bagi menarik sokongan mereka.

“Ketiga, UMNO terus di jauhi oleh golongan muda Melayu. UMNO nampaknya masih belum berjaya ‘resonates’ dengan generasi muda bangsa sehingga penolakan golongan tersebut terhadap UMNO sudah semakin ‘consistent’.

“Sesuatu harus dilakukan dengan segera. Generasi muda berpotensi untuk dimenangi dan diraih sokongan mereka. Hanya kaedahnya mesti sesuai citra, aspirasi dan keperluan kehidupan mereka,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, beliau beranggapan bahawa PRK di Kemaman memberi pedoman bahawa mengimbangi politik perkauman dan agama adalah sukar serta kompleks.

“Keempat, Kemaman juga memberi pedoman bahawa mengimbangi politik perkauman dan agama adalah sukar dan kompleks.

“Bukan mudah untuk menghadirkan pilihan jalan politik sederhana. Ideologi pelampau kanan, retorik perkauman dan agama, semuanya sangat mudah untuk dimanfaatkan bagi meraih populariti.

“UMNO tidak boleh tergelincir dari landasan kesederhanaannya. Ia adalah benteng penting untuk Malaysia yang berbilang bangsa dan agama,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau turut beranggapan bahawa kekalahan UMNO pada PRK kali ini tidak sesekali akan mematikan UMNO.

“Terakhir, Kemaman adalah cerita Kemaman. Ia bukan cerita yang mewakili keseluruhan harapan dan cita cita rakyat Malaysia.

“Ia hanya menewaskan UMNO tetapi tidak sesekali mematikan UMNO. Ia adalah pertandingan dalam liga demokrasi yang ada menang dan tewasnya.

“Dan UMNO hanya tewas, seperti pelbagai kekalahan yang pernah ia lalui.
Di lain ketika, pasti akan ada kemenangan untuk UMNO, Insya-Allah. Semuanya adalah rahsia tuhan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.