Raja Mohamed Affandi Ucap Terima Kasih Kepada Pengundi Dan Jentera

KEMAMAN, 3 Dis – Calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang mengundinya.

Beliau yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada 27,778 orang Kemaman yang memberi sokongan kepada saya dalam PRK ini.

“Terima kasih juga kepada seluruh jentera UMNO, BN dan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Bahagian, Negeri dan seluruh negara yang bertungkus-lumus membantu berkempen untuk saya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Raja Mohamed Affandi juga mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan parti Pas atas kemenangan yang mereka perolehi.

“Sesungguhnya, kita hanyalah berusaha dan selebihnya saya berserah kepada Allah SWT,” katanya.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini melibatkan pertembungan antara BN melalui calonnya Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Ahmad Samsuri.

SPR sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.