Raja Mohamed Affandi Tinjau Proses Pengundian Di Pusat Mengundi

KEMAMAN, 2 Dis – Calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hari ini melakukan tinjauan ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Payoh dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Beliau yang segak memakai kemeja biru dilihat menyapa petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengetahui perkembangan semasa proses pengundian di sekolah tersebut.

Sebelum ini, beliau turut mengunjungi pusat mengundi antaranya seperti di Sekolah Kebangsaan Kg Baru Kerteh dan Sekolah Kebangsaan Kemasek.

Berdasarkan tinjauan meskipun cuaca agak tidak menentu dengan panas terik dan hujan rintik bersilih ganti namun proses pengundian berjalan lancar.

Sebilangan pengundi juga ditemani oleh ahli keluarga yang menunggu di bahagian luar sekolah.

Disebabkan tidak berlaku kesesakan mereka juga diberi peluang untuk meletakkan kenderaan di bahagian tepi bahu jalan.

PRK ini menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara Raja Mohamed Affandi dan wakil Pas, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

PRK Kemaman ini perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.