PRK Kemaman: Pusat Mengundi Dibuka Jam 8 Pagi, Persaingan Dua Penjuru Bakal Terjawab Hari Ini

KEMAMAN, 2 Dis – Persaingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Pas bagi merebut kerusi Parlimen Kemaman akan terjawab pada hari ini.

Sebanyak 49 pusat mengundi dan 244 saluran dibuka bermula jam 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan bagi tujuan pengundian di mana seramai 141,043 orang bakal mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman ini.

Manakala pusat penjumlahan rasmi undi diadakan di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai, di sini, lokasi sama berlangsungnya pusat penamaan calon.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan antara calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala hari ini sebagai hari pengundian.

SPR dalam satu kenyataan semalam menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK Parlimen Kemaman mencecah 70 peratus berdasarkan trend keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu.

Peratusan itu juga mengambil kira ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa Kemaman akan hujan berterusan pada hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.