Ahmad Said Ajak Orang Kemaman Keluar Mengundi Sebelum Cuaca Tak Menentu

KEMAMAN, 2 Dis – Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyeru penduduk di Kemaman menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dengan segera.

Beliau berkata, cuaca yang agak panas di sekitar kawasan perlu dimanfaatkan mereka untuk keluar mengundi.

“Saya harap mereka keluar mengundi kerana kali ini penting bagi kita untuk memenangi Parlimen Kemaman kerana bakal mewakili satu-satunya Parlimen di Terengganu yang bakal diwakili Barisan Nasional (BN).

“Setakat saya tengok masa sampai tu masih perlahan yang keluar mengundi, jadi saya merayu kepada pengundi-pengundi terutama penyokong UMNO/BN keluar beramai-ramai kerana ketika tiada hujan tak tahu mungkin petang hujan akan menyukarkan kita pula,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan Sekolah Kebangsaan Meris Beraga, di sini.

Terdahulu beliau memaklumkan telah mengundi pada jam 8.10 pagi tadi di kampung halamannya di Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong bersama isteri dan anak-anak.

PRK ini menyaksikan sebanyak 49 pusat mengundi dan 244 saluran dibuka di mana seramai 141,043 orang bakal menunaikan tanggungjawab mengundi.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini melibatkan pertembungan antara calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu hantaran di Facebook rasminya memaklumkan sebanyak 48 peratus pengundi telah keluar mengundi sehingga jam 2:00 petang tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.