Ketokohan Raja Mohamed Affandi Mampu Bawa Sinar Baharu Untuk Kemaman

KEMAMAN, 1 Dis – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman melabuhkan tirainya tengah malam ini apabila proses pengundian akan mengambil tempat pada esok, 2 Dis.

Taruhan Barisan Nasional (BN) bekas Panglima Angkata Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor, 66 tahun jika dilihat menerusi siri-siri kempennya ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat di kawasan ini.

Beliau yang juga anak jati Kemaman malah berkata menerusi ‘walkabout’ dan juga ziarah yang dilakukan diibarat seperti jejak kasih kerana dapat bertemu kenalan lama iaitu ketika zaman remaja dan persekolahan tanpa mengira agama dan bangsa.

Tidak hairan kerana mendapat respon yang baik kerana beliau dikenali oleh penduduk setempat kerana dibesarkan di sini serta mendapat pendidikan di Sultan Ismail Primary School, Sultan Ismail Secondary School, Kemaman.

Sekali imbas perwatakannnya nampak tegas dengan ketokohannya, namun jika disapa beliau merupakan individu yang mudah mesra dan mudah diajak berborak oleh petugas media dan rakyat tanpa mengira kedudukan yang pernah disandang sebelum ini.

Pengalaman dan pendidikan yang dimiliki Raja Mohamed Affandi yang sudah berkhidmat 43 tahun bersama ATM tidak dapat disangkal lagi apabila beliau adalah anak Terengganu pertama yang diangkat sebagai panglima ATM dan memegang tampuk tersebut pada Disember 2016 sehingga Jun 2018.

Pengundi Kemaman perlu mengambil kira faktor di atas dan tidak mensia-siakan peluang pada PRK ini dengan memilih Raja Mohamed Affandi sebagai wakil rakyat baharu mereka.

Suara mereka semestinya akan dibawa beliau bagi memperkasa agenda rakyat termasuk pembangunan menyeluruh supaya ianya mendapat perhatian Kerajaan Pusat untuk dilaksana.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ceramah Mega Perpaduan Madani di Geliga baru-baru ini mengakui bahawa Raja Mohamed Affandi sebagai individu yang berkaliber dan bukan calang-calang.

“Panglima ATM ini bukan calang-calang orang nak naik itu dia lalui pelbagai ujian dan rintangan, kena ada rekod yang sangat cemerlang sebelum diangkat menteri pertahanan kepada Perdana Menteri seterusnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan bagi pihak Raja-raja Melayu terangkat dia sebagai Panglima ATM.

“Rekod beliau terbaik tiada cacat celanya, sekurang-kurangnya orang Kemaman ingat dan kenang jasa individu yang menjaga pertahanankan setiap inci bumi bertuah ini,” katanya.

Melihat kepada aspek lawannya pula, dapat dikatakan bahawa suatu kerugian jika rakyat memilih calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana beliau mempunyai pelbagai tanggungjawab untuk digalas.

Dr Ahmad Samsuri merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang dan Menteri Besar Terengganu yang memegang portfolio Ekonomi, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli.

Jika dicongak sudah tentunya Naib Presiden Pas itu mempunyai kekangan masa dan tanggungjawab sekiranya beliau juga menjawat sebagai ahli Parlimen.

Suatu yang tidak muhasabah untuk beliau berulang alik dari Kemaman ke Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Parlimen yang sudah tentunya bermesyuarat sehingga berbulan-bulan.

Bagaimanapun esok adalah penentunya, semoga pengundi Terengganu dapat bertindak secara rasional demi kepentingan masa hadapan mereka. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.