PN Hanya Mimpi, PRK Kemaman Tidak Beri Kesan Perubahan Kerajaan Pusat – SUA

KEMAMAN, 30 Nov – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman tidak akan memberikan kesan terhadap pertukaran kerajaan seperti dicanang pemimpin Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau malah menyifatkan kenyataan yang diungkap oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu sebagai igauan.

“PRK Kemaman ini bukan soal hendak tukar kerajaan, tiga malam lepas Haji Hadi sebut bahawa Kemaman ini penting untuk mula tukar kerajaan.

“Ini sama ada igauan atau mimpi, setiap kali dia cakap seorang demi seorang lompat. Hari ini ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan ada 153 orang.

“Ahli Parlimen PN ada 69 orang, macam mana hendak tubuh kerajaan kerana kena ada 112 orang. Kononnya dia kata kita sedang pujuk ahli-ahli Parlimen UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Mega Perpaduan Madani Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Geliga.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarah Jentera BN Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Datuk Lokman Noor Adam dah kepimpinan parti-parti Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut, Asyraf berkata beliau menberi jaminan bahawa tiada dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang akan berpaling tadah.

Menurut beliau ini kerana mereka telah menandatangani perjanjian sebelum PRU15, berkait dengan akta anti-lompat parti dan menerusi perjanjian itu mana-mana ahli Parlimen yang ingkar arahan akan keluar UMNO secara sukarela sekali gus perlu mengosongkan kerusi.

“Saya sebagai Setiausaha Agung memberi jaminan tidak ada seorang pun ahli Parlimen UMNO yang akan berpaling tadah.

“Ada dua sebab penting, pertama setiap ahli Parlimen sudah menandatangani perjanjian bahawa siapa sahaja yang ingkar keputusan parti dia secara sukarela akan melepaskan keahlian dalam UMNO/BN.

“Apa kesannya, Akta Anti Lompat Parti. Apabila dia keluar daripada parti bermakna terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen tersebut.

“Kedua, mereka juga menandatangani perjanjian setiap orang kena bayar bon RM100 juta kalau ingar kepada ketetapan parti,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.