Perdana Menteri Sifatkan Raja Mohamed Affandi Sebagai Bukan ‘Calang-calang’

KEMAMAN, 30 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor sebagai individu yang berkaliber.

Menggambarkan sosok itu sebagai bukan calan-calang, beliau berkata Raja Mohamed Affandi ketika berkhidmat sebagai panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.

“Panglima ATM ini bukan calang-calang orang nak naik itu dia lalui pelbagai ujian dan rintangan, kena ada rekod yang sangat cemerlang sebelum diangkat menteri pertahanan kepada Perdana Menteri seterusnya ke Yang di-pertuan Agong untuk perkenan bagi pihak Raja-raja Melayu terangkat dia sebagai Panglima ATM.

“Rekod beliau terbaik tiada cacat celanya, sekurang-kurangnya orang Kemaman ingat dan kenang jasa individu yang menjaga pertahanankan setiap inci bumi bertuah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Mega Perpaduan Madani Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Geliga.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengarah Jentera BN Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Datuk Lokman Noor Adam dan kepimpinan parti-parti Pakatan Harapan.

Anwar berkata pengundi di Kemaman perlu mencipta sejarah tersendiri kerana bakal memecah rekod kerana diwakili wakil rakyat yang merupakan bekas pemimpin tertinggi ATM dan banyak berjasa kepada negara.

“Beri sokongan kepada beliau dan minta Kemaman pecah rekod, angkat seorang yang telah berjasa kepada negara.

“Saya harap dan insya-Allah dengan kedudukan beliau saya percaya kalau dia jadi Ahli Parlimen tak kan nak jadi ahli Parlimen biasa. Kita bagi tugas supaya hubungan dengan kerajaan dan Perdana Menteri baik jadi ingat kita pastikan menang calon BN,” ujar beliau.

Untuk rekod Raja Mohamed Affandi, 66 tahun yang berkhidmat 43 bersama ATM berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Beliau berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

PRK ini perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.