Parlimen: Dr Shamsul Anuar Terangkan Produser SOP SJR, Langkah Kekalkan Ketenteraman

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memainkan peranan amat penting untuk menyediakan platform yang selamat dan aman bagi menyokong pembangunan negara berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan serta memastikan hasrat agenda Malaysia MADANI dicapai.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, Sekatan Jalan Raya (SJR) yang diadakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan satu langkah untuk memelihara dan mengekalkan undang-undang, ketenteraman awam serta mencegah dan mengesan sebarang bentuk perlakuan jenayah.

“PDRM mewujudkan satu garis panduan khusus untuk mengadakan SJR seperti ditetapkan dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara A113 (PTKPN A113).

“SJR didirikan berhampiran atau di hadapan balai polis atau di tempat-tempat yang strategik, di mana pengguna jalan raya khususnya pesalah-pesalah tidak mempunyai ruang untuk membuat pusingan ’U’ atau mengelakkan diri sebelum sampai ke tempat sekatan.”

Walau bagaimanapun katanya, sekatan ini tidak boleh didirikan di tempat yang sama sepanjang masa.

“PTKPN A113 turut menetapkan supaya SJR didirikan di lokasi di mana kedua-dua belah jalan mempunyai ruangan luas yang boleh digunakan sebagai tempat memeriksa dan tidak menyebabkan kesesakan jalan raya.

“Walau bagaimanapun, perhatian patut diberikan untuk menghalang kenderaan daripada menggunakan kedua-dua ruangan ini.

“Pelaksanaan SJR memerlukan peralatan-peralatan sepertim papan tanda berukuran tiga kaki enam inci jenis ‘luminous’ berwarna putih dengan perkataan ‘Berhenti Pemeriksaan Polis’, satu lampu ‘visi’ ditempatkan di tengah-tengah atas bingkai tersebut, lampu ‘marshal’ digunakan untuk memperlahankan kenderaan pada waktu malam.”

Ujarnya, lampu suluh bagi kegunaan pemeriksaan kenderaan semasa keadaan gelap, sekurang-kurangnya dua pasang gari mesti dibawa semasa sekatan jalan raya dan peralatan perhubungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Pang Hok Liong (PH- Labis) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada pihak polis dan JPJ boleh membuat SJR di mana-mana jalan.

Beliau juga meminta perangan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) membuat SJR seperti pilihan lokasi, jarak peletakan papan amaran sekatan, jumlah pegawai kawalan dan sebagainya.

Terang Dr Shamsul Anuar PTKPN A113 turut menetapkan supaya jumlah keanggotaan yang bertugas di SJR hendaklah sekurang-kurangnya terdiri daripada empat Pegawai Rendah Polis (PRP) yang bertanggungjawab ke atas pengawasan dan pemeriksaan kenderaan serta mengawasi aliran trafik.

“Kejayaan dan keselamatan anggota-anggota yang menjalankan SJR bergantung kepada kewaspadaan mereka menjalankan tugas.

“Perlu diingatkan bahawa mereka sentiasa terdedah kepada perhatian musuh, di mana mereka tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ganas apabila berlaku kecuaian atau tidak berwaspada, dan tidak bersedia menghadapi sebarang kemusykilan.” 

Terangnya, SJR akan menyebabkan keadaan tidak selesa kepada pengguna jalan raya dan selalu terdedah kepada kritikan.

“Namun tahap disiplin yang tinggi, tegas dan bertimbang rasa perlu ada kepada setiap anggota yang bertugas,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.