Tak Mungkin Ahli Parlimen UMNO Ubah Sokongan Kepada PN – SUA

KEMAMAN, 29 Nov – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tidak mungkin ahli Parlimen UMNO berubah sokongan daripada Kerajaan Perpaduan kepada Perikatan Nasional (PN).

Dr Asyraf berkata demikian sebagai mengulas ceramah Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang berkata kemenangan Pas di Kemaman merupakan titik tolak perubahan kerajaan di peringkat pusat kononnya dengan hasil pujukan terhadap ahli-ahli Parlimen UMNO menyertai mereka.

“Saya sebagai Setiausaha Agung UMNO mahu menyebutkan bahawa tidak mungkin ahli-ahli Parlimen UMNO ini akan keluar parti atau beralih sokongan kepada PN. Kenapa? Kerana ada dua sebab mustahak.

“Pertama, semua ahli Parlimen (UMNO) sudah menandatangani perjanjian sebelum mereka bertanding dalam pilihan raya (umum) ke-15. Perjanjian kalau sekiranya ingkar kepada arahan parti atau berlaku keingkaran oleh mana-mana ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN), maka dalam perjanjian yang telah ditandatangani depan pesuruhjaya sumpah dan saksi tiga orang peguam, kesan secara sukarela dia melepaskan keahlian parti dan akta lompat parti akan memberi kesan.

“Kesannya apabila seseorang keluar daripada parti maka kerusi tersebut akan dikosongkan dan kena ada pilihan raya semula,” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian dalam forum Bicara Titik Persamaan Dalam Memperkukuh Perpaduan di Felda Neram 1, Air Putih di sini malam tadi.

Turut menjadi panelis Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman dan Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh Puan Sri Bibi Sharliza Abdul Khalid.

Forum tersebut dikendalikan oleh Ketua Penerangan Puteri UMNO Kuala Pilah Dinie Fadil.

Faktor kedua tambah Dr Asyraf, semua ahli Parlimen BN bersetuju dalam perjanjian tersebut kalau ingkar kepada pendirian parti, maka bersetuju untuk membayar bon denda sebanyak RM100 juta.

“Apakah RM100 juta akan memberi kesan? Sudah ada kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Zuraidah bekas ahli Parlimen PKR dulu apabila keluar parti kena bon bayar RM10 juta dan mahkamah telah meletakkan wajib bayar RM10 juta.

“Mahkamah mengatakan perjanjian itu sah maka kesannya juga terpakai kepada ahli-ahli Parlimen BN. Dengan dua keadaan ini saya yakin dan percaya tidak akan mungkin mana-mana ahli Parlimen BN akan berpaling tadah,” ujarnya.

Begitu juga Dr Asyraf berpandangan ada alasan lain yang menyebabkan ahli Parlimen UMNO/BN tidak munasabah untuk mereka sokong PN.

“Kenapa hendak sokong PN yang tidak akan mungkin akan jadi kerajaan. Bodohlah kita bersama dengan 69 ahli Parlimen PN yang takkan boleh buat apa-apa untuk bantu rakyat.

“Baik kekal dalam Kerajaan Perpaduan yang dapat peruntukan, memanfaatkan segala projek pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Bidas Dr Asyraf lagi, mana mungkin PN boleh menjadi kerajaan apabila contoh terbaru seorang lagi ahli Parlimen mereka kawasan Bukit Gantang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Menjadikan Kerajaan Perpaduan hari ini didukung dan disokong 153 orang ahli Parlimen manakala PN berkurangan kepada 69 orang. Tak munasabah 69 ini kalau (Pas) menang Kemaman boleh tukar kerajaan. Tukar kerajaan kena ada 112 ahli Parlimen.

“Saya yakin dan percaya Pas atau Bersatu tidak akan sesekali berani untuk memecat mereka, kerana memecat mereka dengan sendirinya akan suka dengan bila-bila masa boleh terlibat dengan parti-parti lain,” katanya.

Selain Bukit Gantang, sebelum ini ahli Parlimen PN dari Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli yang menjadikan jumlah semuanya seramai lima orang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, Dr Asyraf berkata kini negara memerlukan kestabilan politik dan tidak perlu lagi mengulangi apa yang terjadi pada penggal lepas.

“Dengan 153 kita mempunyai kerajaan yang stabil. Hari ini cukuplah-cukuplah kita kembali kepada Parlimen sesi yang lepas dalam tempoh empat tahun tiga Perdana Menteri.

“Apa berlaku? Pelabur lari daripada negara kita, ekonomi makin merudum, bila tidak ada pelaburan kilang-kilang banyak ditutup, rakyat yang sengsara. Harga komoditi jatuh. Apa akan jadi bila politik tidak stabil. Sekarang alhamdulillah apabila kita membuat keputusan yang betul,” katanya.

Untuk rekod, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang juga bekas Panglima Angkatan Tenteta dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.