Tidak Perjuangkan Islam? Inilah Modal Besar Pas Timbulkan Kemarahan, Kebencian Rakyat Terhadap UMNO

KEMAMAN, 28 Nov – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menolak sekeras-kerasnya tohmahan pihak Pas yang menuduh UMNO tidak lagi relevan memperjuangkan agama Islam.

Ujar Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan itu, perkara tersebut menjadi mainan dan dikitar semula pihak Pas dan Perikatan Nasional (PN) apabila tiba kempen pilihan raya seperti mana ketika pilihan raya umum (PRU), pilihan raya negeri (PRN) dan siri-siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

“Tujuan mereka tidak banyak yakni mendatangkan kemarahan orang Melayu, kebencian orang Melayu terhadap perjuangan yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan terutamanya UMNO/Barisan Nasional.

“Ini modal besar yang mereka gunakan. Kerana itu saya sebut berkali-kali dan jelaskan kepada pengundi kita bahawa yang penting kita berkehendakkan ahli Parlimen dan wakil rakyat yang bawa visi, mauduk perjuangan untuk membela rakyat dalam soal pembangunan dan kesejahteraan,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk rekod, dalam pembentangan Bajet 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.9 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam serta RM2.4 bilion bagi FELDA, FELCRA dan RISDA.

Manakala MARA pula diberi peruntukan sebanyak RM3.99 bilion dan RM 1.6 bilion untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) Bumiputera yang semuanya untuk menjaga kepentingan agama dan orang Melayu.

Seterusnya ulas Jalaluddin, apa yang penting, rakyat memerlukan seorang wakil yang mempunyai pendekatan politik khidmat bakti apabila diberi kepercayaan dan mandat.

“Kita mahukan wakil yang mempunyai satu pendekatan politik khidmat kepada rakyat. Politik untuk memastikan bahawa masyarakat yang mereka wakili ini mesti sentiasa berada di dalam fikiran, hati dan juga tutur kata setiap kerja yang mereka jalankan selepas diberi mandat.

“Bukannya politik selepas menang… maka mereka merayakan kemenangan itu dan tidak mempedulikan kawasan yang mereka wakili,” tegas Ahli Parlimen Jelebu itu lagi.

Ulasnya juga, perubahan sokongan empat ahli Parlimen pembangkang iaitu dari Kuala Kangsar, Labuan, Jeli dan Gua Musang kepada Perdana Menteri juga menjadi bukti ahli Parlimen pembangkang gagal memberi khidmat kepada kesejahteraan rakyat.

“Ini sudah jelas berlaku di beberapa tempat dan kita lihat beberapa wakil yang mewakili PN sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen yang sudah hilang punca apabila diberi mandat oleh pengundi di kawasan mereka.

“Sebagai contoh empat ahli Parlimen mereka menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri… mengapa empat ahli Parlimen sudah meninggalkan idealogi perjuangan mereka dengan membawa hala tuju sokongan mereka kepada Kerajaan Perpaduan.

“Ini adalah semata-mata atau berasaskan ketidakmampuan mereka untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen kepada masyarakat yang mereka wakili,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Kemaman menjadikan tindakan empat ahli Parlimen itu sebagai pengajaran dalam memilih wakil mereka di Dewan Rakyat pada Sabtu ini.

“Kerana itu saya harap ini boleh dijadikan sebagai satu pengajaran dan sempadan kepada pengundi Kemaman untuk membuat pilihan yang tepat.

“Kita akan lihat apa yang akan berlaku selepas 2 Dis. Jika wakil yang akan mewakili Kemaman ini akan diwakili oleh ahli Parlimen daripada Barisan Nasional dan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Terkini, ahli Parlimen PN dari kawasan Bukit Gantang menyatakan sokongan terhadap perdana menteri menjadikan keseluruhannya seramai lima orang.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15 disebabkan wujud bukti perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.