Kemaman Perlukan Pembaharuan Dan Pembelaan, Pas Abai Kepentingan Rakyat

KEMAMAN, 27 Nov – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata rakyat khususnya di kawasan Parlimen Kemaman memerlukan pembaharuan dan pembelaan yang sewajarnya.

Ujarnya, walaupun Pas menjadi kerajaan di negeri Terengganu, tetapi mereka tidak membantu malah mengabaikan dan mengetepikan kepentingan rakyat.

“Sekarang ini tiada wakil Kerajaan Perpaduan di dalam negeri Terengganu. Sebab itu mereka boleh abaikan rakyat di kawasan ini kerana tiada orang boleh menegur mereka. Kita mahu dalam pilihan raya ini ada wakil.

“Kita akan rampas kembali… kerana rakyat sudah sedar apabila mereka diberi kepercayaan, tidak banyak usaha perubahan, pembangunan yang dibawa ke kawasan. Kita pilih wakil rakyat untuk menolong, membantu kita kerana tugas wakil rakyat memberi kesejahteraan kepada kita. Kalau kita diabaikan, tidak bertanggungjawab, susah untuk mendapatkan bantuan, inilah masa terbaik untuk rakyat tunjukkan,” kata Menteri Besar Pahang itu.

Wan Rosdy berkata demikian ketika sesi sembang santai bersama masyarakat Kampung Sg Pergam, Air Putih, di sini petang Ahad.

Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor dan penyelaras urus setia Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih Dr Mohd Zaki Salleh.

Ulasnya, ini berbeza dengan BN dan UMNO dari dahulu lagi menjaga semua kaum termasuklah masyarakat orang Asli.

“Kalau kita di Pahang, Senator dilantik di kalangan orang Asli seperti Pengarah JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli), pegawai khas saya, Ahli Parlimen Cameron Highlands dan Ketua Pengarah JAKOA.

“Di Terengganu ada tak? Tiada… maknanya mereka (kerajaan negeri) abaikan, (rakyat) dibiar, ditinggalkan, tidak dipedulikan. Pada 2 Dis, tunjuk kepada mereka bahawa kita hendak pilih calon BN yang boleh mewakili kita di kawasan ini.

“Kita sudah beri peluang kepada Pas memerintah di Terengganu, apa yang mereka buat? Kalau tiada duit ehsan hasil minyak… nak bayar gaji pun tak boleh. Berbanding kita di Pahang tiada duit ehsan tetapi kita uruskan dengan baik, ada pengalaman malahan hasil kerajaan negeri mencecah RM1 bilion yang boleh salurkan kembali kepada rakyat,” katanya.

Manakala dalam sidang medianya, Wan Rosdy yakin dan optimis Raja Mohamed Affandi mampu menggalas tugas dengan sebaiknya dan menjadi suara rakyat Kemaman jika diberi peluang pada 2 Dis kelak.

Tambahnya, penerimaan rakyat kepada bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia itu begitu baik dan mereka juga menyatakan akan memberi sokongan kepada beliau.

“Namun begitu, usaha untuk meneruskan keyakinan mereka kepada calon BN akan tetap diteruskan sehingga ke hari mengundi. Kita membawa mesej perlukan satu suara di Parlimen Terengganu ini kerana sekarang ini kita tidak ada wakil daripada Kerajaan Perpaduan.

“Jadi dengan adanya sokongan pengundi di Parlimen Kemaman ini, insya-Allah Tan Sri akan beroleh kejayaan. Saya menyeru kepada pengundi teruslah memberi sokongan kepada calon BN kerana sangat yakin Tan Sri adalah seorang yang mempunyai pengalaman yang begitu tinggi, pernah memegang jawatan tertinggi di dalam tentera dan pastinya akan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di Kemaman ini,” katanya.

Untuk rekod, PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

PRK Parlimen Kemaman ini memperlihatkan pertandingan dua penjuru antara Raja Mohamed Affandi dan Pas yang mempertaruhkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Raja Mohamed Affandi berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 18 Nov dan pengundian awal pada 28 Nov, manakala 2 Dis sebagai hari pengundian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.