Wujud IPD Baharu… KDN, PDRM Lakukan Kajian Serta Penelitian Dari Semasa Ke Semasa – Shamsul Anuar

 

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Kajian dan penelitian dari semasa ke semaa sentiasa dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menilai keperluan menaiktaraf kategori sebuah balai polis atau mewujudkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu selari dengan pertambahan penduduk.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kekuatan anggota polis di Balai Polis Pitas adalah seramai 50 orang.

“Untuk makluman, pejabat Menteri Dalam Negeri telah mengemukakan surat pemakluman bertarikh 4 April 2023 kepada Ahli Parlimen Kudat berkaitan senarai dan status pelaksanaan projek infrastruktur bagi jabatan serta agensi di bawah kementerian negeri di kawasan Parlimen Kudat bagi tahun 2023.

“Daerah Pitas berkeluasan 1,423 kilometer persegi dan mempunyai penduduk seramai 5,358 orang. Terdapat sebuah balai polis di Pitas yang berada di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.

“Kekuatan anggota di IPD berkenaan di Balai Polis Pitas adalah seramai 50 orang, diketuai seorang Ketua Balai Polis berpangkat inspektor. Nisbah anggaran pegawai anggota polis dengan jumlah penduduk di daerah Pitas adalah satu nisbah 907 dan anggaran ini melebihi nisbah yang digariskan oleh ‘The International Criminal Police Organization’ (Interpol) iaitu satu nisbah 250,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Jelasnya, bagaimanapun nisbah yang digariskan oleh Interpol bukanlah bersifat mutlak dan hanya merupakan garis panduan untuk rujukan pihak berkepentingan.

“Walaubagaimanapun, nisbah yang digariskan oleh Interpol bukan bersifat mutlak dan ia merupakan garis panduan untuk dirujuk oleh pihak berkepentingan. Berdasarkan penelitian pihak PDRM, jumlah kekuatan polis di Pitas mencukupi bagi mentadbir daerah berkenaan.

“Buat masa ini, pihak Kementerian Dalam Negeri dan PDRM belum merancang untuk mewujudkan sebuah IPD baharu di daerah Pitas memandangkan kekuatan IPD Kota Marudu yang terletak sejauh 46.5 kilometer melalui jalan darat masih mencukupi bagi mentadbir keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Pitas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kes jenayah yang direkodkan bagi Balai Polis Pitas menurun daripada tahun 2021.

“Statistik jenayah indeks yang direkodkan bagi Balai Polis Pitas bagi tempoh Januari 2021 sehingga Ogos 2023 masing-masing sebanyak 33 kes dalam tahun 2021, 25 kes bagi tahun 2022 dan lapan kes sehingga Ogos 2023. Menurun.

“Kajian dan penelitian dari semasa ke semasa sentiasa dilaksanakan oleh KDN dan PDRM bagi menilai keperluan menaiktaraf kategori sebuah balai polis atau mewujudkan IPD baharu selari dengan pertambahan penduduk, pembangunan lokasi dan situasi semasa keselamatan lokasi berkenaan seperti jumlah laporan polis, jenayah indeks, sasaran penting dan keluasan sektor rondaan,” katanya lagi.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda yang meminta KDN menyatakan rancangan kerajaan untuk mewujudkan sebuah Ibu Pejabat Polis di daerah Pitas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.