Angkat Semula Minat Pelajar Kepada Sains Dan Inovasi, Noraini Cadang ‘Science Show’ Melalui AI

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mencadangkan agar pihak kerajaan melalui Pusat Sains Negara mengadakan pertunjukan Sains menggunakan Artificial Intelligence (AI).

Ini kerana katanya, ia sejajar dengan wawasan kerajaan untuk melahirkan generasi penyumbang dalam bidang sains dan teknologi.

“Bagi Maksud Pembangunan 30, Butiran 00604 – Pusat Sains Negara. Daripada butiran ini, dapat dilihat peruntukan pada tahun hadapan meningkat daripada RM 10.4 Juta (2023) kepada RM 15.2 (2024).

“Sejajar dengan wawasan kerajaan untuk melahirkan generasi penyumbang dalam bidang sains dan teknologi, Pusat Sains Negara telah diberi mandat untuk membina suatu masyarakat yang berbudaya sains,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, berdasarkan Kajian Kesedaran Awam Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Malaysia 2022, minat pelajar terhadap bidang sains di negara ini kian merosot dengan ketara.

“Berdasarkan Kajian Kesedaran Awam Mengenai STI Malaysia 2022 menyatakan bahawa minat pelajar terhadap bidang sains di negara ini merosot dengan ketara kepada 40 peratus pada tahun lalu berbanding 66.7 peratus 2019. Jadi apakah langkah proaktif kerajaan melalui Pusat Sains Negara bagi mengangkat semula minat pelajar-pelajar kepada sains dan inovasi ini?

“Bagi memastikan Pusat Sains Negara dapat mewujudkan persekitaran serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran sains yang menyeronokkan serta menyedia dan membangunkan bahan pameran sains interaktif. Apakah peruntukan pembangunan ini akan melibatkan pameran-pameran sains yang lebih menonjolkan teknologi A.I dan teknologi-teknologi baharu?

“Adakah Pusat Sains Negara bercadang untuk mewujudkan Science Show menggunakan teknologi Artificial intelligence (AI) dan Augmented reality (AR) yang boleh ditonton oleh segenap masyarakat Malaysia?” soalnya kepada Menteri Sains dan Teknologi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan apakah usaha kerajaan dalam menggalakkan peningkatan jumlah pengunjung untuk melawat Planetarium Negara yang dilihat begitu merosot sebelum Pandemik COVID-19.

“Bagi Maksud Pembangunan 30, Butiran 00602 – Planetarium. Daripada butiran ini, dapat dilihat peruntukan pada tahun hadapan adalah RM 3 Juta. Planetarium Negara merupakan sebuah institusi pendidikan tidak formal dalam bidang Astronomi dan Sains Angkasa.

“Merujuk data yang disediakan oleh Planetarium, jumlah pengunjung untuk pameran tayangan sahaja bagi tahun 2021 8,964 orang dan bagi pameran planetarium hanya pada 6,549.

“Keadaan ini jauh dengan keadaan sebelum Pandemik COVID-19. Pada tahun 2018 sahaja merekodkan lebih dari 50 ribu pengunjung bagi setiap pameran tersebut. Jadi apa usaha kerajaan bagi menggalakkan peningkatan jumlah pengunjung kembali melawat planetarium?” soalnya lagi.

Di samping itu, beliau juga mengharapkan agar pihak kerajaan membuat promosi yang lebih agresif agar Planetarium Negara menjadi tempat wajib dikunjungi sekiranya melancong ke Malaysia.

“Adakah pihak kerajaan ada bercadang membuat promosi lebih agresif bagi menarik pelancong asing untuk menjadikan planetarium sebagai tempat wajib dikunjungi dalam lawatan mereka ke Malaysia?

“Adakah ada cadangan untuk mewujudkan mobile planetarium bagi memberikan peluang kepada rakyat di bandar-bandar kecil dan di kawasan luar bandar merasai pengalaman melawat planetarium?” soalnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.