Belanjawan 2024: Pengurangan Defisit Bakal Meletakkan Kewangan Negara Dalam Keadaan Sihat – Gulam Muzaffar

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Peningkatan cukai perkhidmatan (SST) daripada enam ke lapan peratus mampu memberikan ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan defisit negara dan meletakkan situasi kewangan dalam keadaan sihat.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, kerajaan bukanlah entiti perniagaan sebaliknya sebuah entiti yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Apabila kita lihat cukai perkhidmatan dinaikkan daripada enam ke lapan peratus, ada baik dan buruknya. Sekiranya kita tidak melakukan pemantauan daripada ‘tax rejim’ ini, kita akan berhadapan dengan masalah sebab kita perlu ingat bahawa kerajaan ini bukan entiti perniagaan.

“Kerajaan ini adalah entiti untuk memberi dan menyediakan perkhidmatan. Contohnya seperti perkhidmatan dari segi pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan sebagainya. Ini semua adalah tugas dan fungsi kerajaan.

“Kalau kita lihat, daripada mana sumber kewangan perlu kita ambil? Daripada cukai yang kita kenakan kepada rakyat. Sebenarnya, kerajaan meminta simpati daripada rakyat untuk memberi lapan peratus agar dapat dibelanjakan bagi pembangunan dan juga perbelanjaan pengurusan,” katanya menerusi sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online, semalam.

Jelasnya, Malaysia tidak boleh mengatakan bahawa ianya sebuah negara yang tidak menghadapi isu kenaikan kos sara hidup kerana sudah jelas bergantung kepada faktor-faktor lain.

“Apabila kita berada dalam satu sistem kapitalis, kita tidak boleh mengatakan bahawa kita adalah satu-satunya negara yang tiada kenaikan kos sara hidup. Ini kerana kita bergantung kepada faktor-faktor luar. Sebab itu apabila kita bercerita tentang kapitalis maka apa juga yang berada dalam dunia sekarang kita perlu terima.

“Rakyat sebagai satu entiti yang perlu kita jaga dan kita perlu lihat daripada segi sosial, keterjaminan makanan, pendidikan, perubatan… ini semua perlu dijaga sebab ianya melibatkan tentang kos.

“Kalau kerajaan tidak boleh memberi penambahan daripada segi kenaikan gaji dan pangkat, membina infra yang berbagai, dari mana sumbernya nak datang?” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kerajaan perlu berusaha untuk mewujudkan hasil pendapatan secara domestik bagi terus mengurangkan jumlah defisit negara.

“Tetapi kalau diikutkan daripada segi kebaikan, apa yang saya nampak sekurang-kurangnya ia memberi sedikit ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan defisit negara. Defisit negara ini daripada di bawah pemerintahan Tan Sri Muhyiddin ialah 6.5 peratus. Kemudian semasa zaman Datuk Seri Ismail Sabri, lebih kurang lima peratus dan kali ini dimaklumkan dalam 4.6 peratus.

“Ini sebenarnya angka yang menunjukkan apabila defisit kerajaan berkurangan maksudnya kedudukan negara dalam keadaan sihat untuk berbelanja. Sebab kita tidak boleh terlampau banyak sangat berhutang. Kebergantungan kita kepada hutang-hutang persisir luar negara ini akan menjadi beban kita satu hari nanti.

“Jadi, kita perlu wujudkan punca pendapatan daripada domestik kerana inilah sebenarnya perkara yang kita perlu lakukan. Kita perlu menilai dan menolak sedikit rasa kemarahan untuk kita nak bantu kerajaan daripada segi perolehan,” katanya lagi.

Pada minggu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Bajet 2024 di parlimen.

Belanjawan 2024 bertema ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ adalah dasar penting dan menyeluruh selain memacu pertumbuhan ekonomi serta membela rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.