Kembali Bangkit: Berdiri Teguh Demi Kesinambungan UMNO

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai sudah melabuhkan tirainya, Barisan Nasional (BN) telah menang dengan majoriti yang selesa namun masih ada lagi suara-suara sumbang yang memperlekehkan keputusan PRK ini. Malah ada yang cuba menafikan atau memperlekehkan peranan Presiden UMNO dalam PRK kali ini.

Kita jangan lupa, salah satu punca utama kegagalan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah apabila rakyat melihat UMNO lebih cenderung untuk berkonflik sesama sendiri, walaupun menggunakan slogan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’. Ini adalah suatu paradoks yang kita tidak boleh nafikan dan perlu kita tangani. Rakyat ingin tetapi tidak melihat kesepaduan dan kestabilan dalam kepimpinan UMNO.

Satu lagi sebab mengapa rakyat mungkin kehilangan keyakinan terhadap UMNO adalah walaupun ‘track record’ cemerlang UMNO semasa mentadbir selama 60 tahun, kegagalan ahli UMNO dalam mempertahankan pemimpin serta kehilangan semangat perjuangan Melayu menjadi satu isu utama. Rakyat ingin melihat UMNO yang bersatu padu dan berjaya menghidupkan semula semangat perjuangan Melayu.

UMNO dilihat sudah berubah dari sebuah parti konservatif kepada sebuah parti yang lebih progresif. Ini mungkin membawa manfaat dalam beberapa aspek, tetapi UMNO seharusnya tidak melupakan akar budayanya sebagai parti Melayu Islam.

Kegagalan UMNO dalam mengukuhkan imejnya telah memberi peluang kepada Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Perikatan Nasional (PN) untuk tampil sebagai pilihan utama dalam kalangan Melayu Islam.

Ini menjadi jelas dalam PRU-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, di mana negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah tidak berpaling kepada UMNO, dan DUN-DUN yang dikategorikan sebagai ‘Malay Belt’ di Selangor diambil alih oleh PN.

Kita juga tidak boleh mengabaikan budaya dalaman UMNO yang kerap menjatuhkan presiden menjadi faktor rakyat menolak UMNO. Ahli UMNO seharusnya menyedari bahawa mengkritik dan menjatuhkan presiden secara terbuka boleh merosakkan imej parti di mata rakyat.

Namun, semakin banyak ahli UMNO yang hanya mengagung-agungkan bekas presiden selepas mereka tidak lagi berkuasa. Ini dapat dilihat selepas Datuk Seri Najib Razak tidak lagi menjadi presiden, di mana ramai yang sebelumnya mengkritiknya kini memuja beliau dengan slogan “Rindu Najib” dan “Hidup Bossku”. Adakah ahli UMNO memang tidak pandai menilai kaca atau permata?

Perpecahan dalaman UMNO juga disebabkan oleh budaya kesetiaan kepada ‘warlord’ politik daripada kepada parti. Ini semakin merumitkan keadaan dan membuat rakyat semakin jemu dengan UMNO.

Hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadapi masalah yang sama. Walaupun beliau telah berjaya dalam beberapa aspek seperti menyelamatkan UMNO dari pembunuhan sistematik oleh PPBM dan menghadapi kelicikan Pas dalam PN, beliau masih dianggap sebagai punca kegagalan UMNO pada PRU-15.

Kesimpulannya, cara untuk UMNO kembali bangkit adalah dengan berdiri teguh bersama Presiden. Manakala, Presiden pula perlu membawa UMNO kembali kepada akarnya sebagai juara Melayu Islam, yang merupakan segmen sasaran utama UMNO.

Jika tidak, UMNO hanya akan menjadi kenangan dalam sejarah yang diceritakan kepada generasi mendatang. Untuk itu, ahli UMNO perlu menyedari bahawa perpaduan dan kesetiaan kepada presiden adalah kunci kepada kejayaan mereka.

Sejujurnya saya sebagai ahli UMNO amat rindukan UMNO yang bersatu padu, kembali dilihat sebagai pejuang Melayu Islam berbanding parti lain dan kembali diterima oleh rakyat.

Salam Perjuangan,

𝗠𝗢𝗛𝗗 𝗦𝗛𝗨𝗞𝗥𝗬 𝗕𝗜𝗡 𝗥𝗢𝗦𝗟𝗔𝗡 𝘢𝘥𝘢𝘭𝘢𝘩 𝘒𝘦𝘵𝘶𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘦𝘳𝘢𝘯𝘨𝘢𝘯 𝘜𝘔𝘕𝘖 𝘉𝘢𝘩𝘢𝘨𝘪𝘢𝘯 𝘚𝘦𝘭𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨. 𝘔𝘢𝘯𝘵𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘥𝘢𝘯 𝘛𝘦𝘯𝘢𝘨𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘨𝘨𝘦𝘳𝘢𝘬 𝘉𝘪𝘳𝘰 𝘛𝘢𝘵𝘢𝘯𝘦𝘨𝘢𝘳𝘢. 𝘈𝘬𝘵𝘪𝘷𝘪𝘴 𝘴𝘦𝘳𝘵𝘢 𝘱𝘦𝘯𝘤𝘦𝘳𝘢𝘮𝘢𝘩 𝘣𝘦𝘣𝘢𝘴 𝘶𝘯𝘵𝘶𝘬 𝘭𝘪𝘵𝘦𝘳𝘢𝘴𝘪 𝘱𝘰𝘭𝘪𝘵𝘪𝘬, 𝘱𝘦𝘳𝘭𝘦𝘮𝘣𝘢𝘨𝘢𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘯 𝘯𝘢𝘴𝘪𝘰𝘯𝘢𝘭𝘪𝘴𝘮𝘦.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.