PN Langgar Akta Pilihan Raya, Belanja Lebih RM100 Ribu Satu Calon Sepanjang Kempen – Lokman Adam

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perikatan Nasional (PN) telah melanggar Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana telah membelanjakan lebih RM100,000 untuk seorang calon sepanjang tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, PPBM/PN bijak dalam menggunakan wang yang diterima sehabis baik dengan menguasai pelbagai platform media sosial.

“PPBM ini saya lihat mereka pandai menggunakan duit mereka dengan sehabis baik. Kita tidak boleh nafikan. Kadang-kadang kalau orang itu ada duit tetapi tidak pandai menggunakannya, tidak jadi apa.

“Saya kena menerima hakikat bahawa mereka pandai menggunakan duit yang mereka dapat dengan sehabis baik. Kita lihat bagaimana mereka menguasai media massa, TikTok, Facebook, Instagram dan pelbagai saluran media.

“Jadi, dengan duit yang mereka salurkan kepada Pas, para jentera dan pasukan bermotor, bagi saya gerakan mereka agak tersusun. Kita tidak boleh menafikan benda ini. Bukan semua orang yang ada duit tahu nak membelanjakan duit mereka dengan betul,” katanya menerusi hantaran video di laman Twitternya.

Jelasnya, calon-calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibenarkan untuk membelanjakan lebih RM100,000 seorang, manakala calon parlimen pula tidak melebihi RM200,000.

“Tapi, saya rasa ini antara kelebihan yang ada pada PPBM yang kita tidak boleh memandang enteng. Kalau kita memandang enteng, takut satu hari nanti kita yang ‘terkontang-kanting’. To be frank, we failed to stop them using their money.

“Kalau hari ini saya duduk dalam kerajaan, saya akan paksa TikTok untuk declare berapa banyak mereka dapat daripada ahli-ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya. Nescaya kita akan dapati ramai calon daripada PPBM, Gerakan dan Pas.

“Mereka membelanjakan lebih daripada RM100,000 setiap calon untuk Facebook ataupun TikTok sedangkan itu menyalahi peraturan pilihan raya. Berdasarkan peraturan pilihan raya, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh belanja lebih RM100,000. Calon parlimen tidak boleh belanja lebih RM200,000,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Lokman turut berpendapat bahawa platform-platform media sosial tidak sepatutnya melindungi mereka yang melanggar akta SPR ini.

“Kita tidak boleh biarkan mereka ini menutup penyalahgunaan dana berlebihan oleh calon-calon pilihan raya. Kalau mereka bersekongkol dengan calon-calon PPBM atau Perikatan Nasional (PN), tindakan wajar diambil.

“Itu baru TikTok. YouTube pun kita tengok macam mana mereka membelanjakan sepanjang tempoh berkempen itu. Hanya video-video mereka sahaja yang keluar kerana YouTube menerima ‘advertisement’ daripada mereka.

“Sewajarnya, mana-mana platform media sosial tidak boleh melindungi penjenayah-penjenayah ini kerana mereka telah melakukan kesalahan,” katanya lagi.

Pada 16 Ogos lalu UMNO Online melaporkan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan perbelanjaan parti lawan khususnya melibatkan media sosial pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tidak berlandaskan kepada undang-undang pilihan raya.

Katanya ini merujuk kepada Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya yang memperuntukkan had maksimum perbelanjaan pilihan raya RM200,000 bagi setiap kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kenyataan beliau itu dibuat mengambil kira strategi sesetengah parti yang mengunakan platform media sosial melebihi had maksimum perbelanjaan dibenarkan oleh akta tersebut. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit