Tolak Sentimen Kebencian, Rai Dan Pilih Calon Perpaduan – SUA

KUALA PILAH, 11 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru pengundi di enam buah negeri Pilihan Raya Negeri (PRN) bijak dalam memilih calon yang memberi manfaat bagi masa hadapan mereka.

Jelas beliau, pengundi juga diharapkan untuk tidak termakan dengan sentimen dicipta segelintir pihak yang membawa politik kebencian.

“Jangan sesekali kita memilih berasaskan sentimen, andaian, persepsi yang dicipta berdasarkan kebencian.

“Gunakan ilmu untuk menentukan calon-calon yang akan dipilih nanti memberi manfaat berterusan kepada kita.

“Bukan hanya sekadar mendapat imbuhan satu kali tetapi lupa yang akan meneruskan agenda membantu rakyat adalah parti yang sama dengan parti-parti di bawah perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ramah mesra di D’Kok Eko Camp Talang bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.

Dr Asyraf dalam pada itu berkata demi kesejahteraan negara, rakyat perlu memilih calon-calon daripada parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan.

Katanya ia penting bagi memastikan segala pelan perancangan ke arah pembangunan negeri dilaksana dengan baik.

“Pilih calon-calon daripada parti-parti kerajaan Perpaduan khususnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) semua 245 DUN yang bertanding di enam buah negeri ini.

“Penting kerana undi anda akan menentukan masa hadapan negeri ini agar sama dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“…kerana kita mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh demi kesejahteraan rakyat dan negara,” ujar beliau.

Hari esok mencatat sejarah tersendiri kepada enam negeri yang mengadakan PRN secara serentak.

Ini kerana buat pertama kalinya juga, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memilih ADUN masing-masing berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.