Strategi Parti Letak Calon Muda Mampu Pengaruhi Undi Anak Muda – Imran

SUNGAI BESAR, 9 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata strategi parti meletakkan calon muda berupaya dalam menarik sokongan golongan itu.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri berkata untuk itu sayap parti memainkan peranan penting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini demi memastikan kemenangan berpihak kepada BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Selangor ada lebih 52.4 peratus pengundi yang berusia di bawah umur 40 tahun jadi peranan dan juga imej anak muda ini perlu diperlihatkan.

“Ada dua calon Pemuda iaitu saya di Sungai Panjang dan Alhafizi Abu Bakar di Sijangkang. Jadi kita dalam konteks ini sudah pasti melihat bahawa BN khususnya UMNO bersedia untuk mengetengahkan calon muda bagi memberikan tawaran baharu untuk mendekati orang muda.

“Di peringkat UMNO/BN Selangor kita mengarahkan supaya setiap Pemuda di bahagian turut sama membantu kempen dan juga pastikan sokongan orang muda kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Bercakap berkenaan kempen PRN ini, jelas Imran pelbagai pendekatan telah dilakukan beliau untuk mendekati pelbagai kelompok masyarakat bagi menyampaikan aspirasi beliau di Sungai Panjang.

Katanya, ini termasuk pelaksanaan program secara santai kerana lebih mesra dan bersahaja.

“Sepanjang seminggu ini kita melaksanakan kempen secara tersusun, mendekati kelompok dan segmen masyarakat termasuk anak muda.

“Kita adakan banyak program dan juga aktiviti walaupun dalam keadaan sederhana seperti speaker corner, pertandingan futsal, badminton, (dan) bual bicara,” ujar beliau.

Untuk rekod, DUN Sungai Panjang ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Mohd Imran dengan Razali Saari mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.