Sambutan Luar Biasa Sepanjang Berkempen, Hayazi Harap Beroleh Kemenangan

AYER HITAM, 9 Ogos – Hanya tinggal tiga hari berkempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Hayazi Azizan menzahirkan kesyukuran sepanjang berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) mendapat sambutan yang menggalakkan dari pengundi.

Jelasnya, maklum balas yang diberikan daripada masyarakat di kawasan itu diharap dapat memberikan kemenangan BN pada PRN ini.

“Syukur Alhamdulillah mendapat respons yang sangat bagus menyantuni pengundi di seluruh kawasan. Pengundi-pengundi di peringkat akar umbi mereka memberi peluang dan ruang mendekati serta berjanji akan sama-sama membantu memberikan kemenangan BN.

“Saya tidak kekok di sini kerana ini memang tumpah kelahiran. Kita tahu selok-belok dari segi penduduknya, penempatan, budaya dan ini akan memberi sedikit kelebihan untuk turun mendekati dan bersembang cara orang kampung.

“Minta tolong ayah, ibu, kakak, abang sekalian supaya diberi peluang untuk berkhidmat sekiranya diberikan peluang dan akan cuba yang terbaik. Rakyat boleh menilai perkhidmatan selama sepenggal, sekiranya selesa boleh meneruskan,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Seterusnya, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun itu menyeru semua kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) bersama-sama bekerjasama sehingga ke hari pengundian.

“Saya menyeru kepada semua kepimpinan di peringkat akar umbi bagi kedua-dua parti iaitu BN/PH supaya sama-sama membantu menjadi agen perayu undi tidak kira masa sehingga ke garisan penamat. Kita berkerja sebagai satu pasukan dan bersama-sama disebabkan latar belakang sosio kehidupan di tempat ini adalah sama.

“Kita orang Melayu, beragama Islam dari segi kependudukan pun sama, budaya pun sama dan ini tidak ada masalah. Kalau dari segi anasir-anasir dan dakyah dari luar mungkin akan ditangkis. Paling penting tanamkan tekad supaya memartabatkan agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Hayazi percaya dengan kematangan seni berpolitik jentera kedua-dua parti ini berkerjasama antara satu sama lain.

“Apabila pertama kali gabungan jentera BN/PH nampak serasi dan ini berlaku kematangan berpolitik. Kita tidak ada masalah bersama dan percaya ini disebabkan seni berpolitik yang begitu dinamik,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.