Rakyat Kedah Mahu Pentadbiran Negeri Selari Dengan Persekutuan – Cikgu Non

BUKIT KAYU HITAM, 9 Ogos- Kempen ‘kalih bagi sama’ oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah menunjukkan gabungan itu mampu menguruskan negeri dengan lebih baik berbanding Perikatan Nasional (PN) jika diberikan mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kata calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kayu Hitam, Zainol Abidin Mohamad.

Beliau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Non’ berkata kempen tersebut adalah satu bentuk tawaran kepada rakyat negeri ini untuk memilih calon-calon daripada BN/ PH pada PRN nanti, agar kerajaan negeri dapat dibentuk selari dengan peringkat Pusat.

“Rakyat Bukit Kayu Hitam dan negeri Kedah amnya semakin bijak dan memahami situasi yang dilakukan oleh kepimpinan negeri. Secara umumnya rakyat Kedah mahukan perubahan dan ‘kalih bagi sama’ untuk menikmati segala pembangunan dan kebajikan di negeri ini selari dengan kerajaan pusat.

“Saya amat yakin dengan kemelut politik negeri Kedah yang agak kelam kabut kerana pimpinan negeri yang mencari masalah dengan pemimpin lain dan beliau tidak fokus pada pentadbiran negeri.

“Sekarang ini boleh bandingkan Kedah dan Kelantan walaupun negeri yang dikenali sebagai Serambi Mekah itu mendapat sumbangan pembangunan dari pusat. Tetapi kerajaan negeri Kedah tidak mendapat sebarang sumbangan kerana suka mencari masalah,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Seterusnya Cikgu Non merasa yakin dapat memenangi kerusi tersebut dengan sokongan dan komitmen yang diberikan jentera BN dan PH.

“Saya yakin boleh menyumbangkan satu kerusi bagi negeri Kedah dan dalam masa yang sama dapat menambat hati rakyat. Komitmen yang diberikan oleh jentera PH sudah pasti menyokong calon BN dan faktor itu merupakan kemenangan BN/PH,” katanya lagi.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos dan bagi tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.