Perumahan Generasi Baharu Felda, Pembangunan Infrastruktur Keutamaan Mustapha

JEMPOL, 9 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong, Mustapha Nagoor menggariskan lima aspirasi yang merangkumi 25 asas perjuangan kepada rakyat sekiranya diberikan mandat pada 12 Ogos ini.

Jelas beliau menerusi itu, beberapa perkara menjadi fokus beliau antaranya menambah perumahan untuk generasi baharu Felda.

“Di kawasan saya sudah ada Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) tetapi banyak yang terbengkalai. Cuma ada di Palong 7, 8 yang sedang dibaik pulih dan akan siap dalam tempoh beberapa bulan daripada sekarang.

“Kita tahu bahawa tidak semua orang mampu beli rumah, jadi saya syorkan di bawah dasar perluasan kampung supaya dapat kita cari kawasan kosong untuk dijadikan lot-lot rumah mereka sendiri,” katanya.

Mustapha yang juga penyandang di kerusi ini berkata beliau juga turut merancang membina kemudahan bagi isteri peneroka menambah pendapatan dengan berniaga.

“Di Felda ini sumber pendapatan mereka adalah kerja kebun, sama ada peneroka sawit atau getah. Jadi isteri mereka ini akan buat kerja sampingan untuk ekonomi tambahan seperti berniaga kecil-kecilan.

“Jadi tiada kemudahan atau tempat berniaga yang sesuai, gerai yang boleh guna pakai untuk mereka buat perniagaan dan sebagainya,” ujar beliau.

Isu jalan raya juga turut menjadi perhatian Mustapha apabila jalan utama ke Palong sempit dan gelap menjadi punca kejadian kemalangan yang sering berlaku.

“Jalan kalau siapa yang pergi Palong, daripada Pasir Besar ke Kuala Lapan itu adalah jalan utama ia sempit.

“Jadi kami sudah lama minta supaya dilebarkan dan diadakan pencahayaan sepanjang jalan sebab sekarang ini gelap menyebabkan ramai yang kemalangan sehinggakan maut,” katanya.

Untuk rekod, DUN Palong ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Mustapha dengan Noor Azuan mewakili Perikatan Nasional (PN). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.