Kembali Ke Pangkuan UMNO, Mohd Rawi Zahir Penghargaan Kepada Presiden

LANGKAWI, 9 Ogos- Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid menzahirkan kesyukuran kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan tertinggi parti menerima dirinya kembali ke pangkuan UMNO.

Katanya perkara itu dizahirkan sewaktu pertemuan yang diadakan Timbalan Perdana Menteri bersama pengundi di Kuala Teriang, Langkawi.

“Saya memohon maaf juga pada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan UMNO negeri, bahagian serta cawangan-cawangan di bahagian Langkawi dan berjanji untuk memberikan sepenuh sokongan, pengalaman, perhubungan selama menjadi wakil rakyat di DUN (Dewan Undangan Negeri) Ayer Hangat.

“Hari ini adalah yang cukup bahagia dan bermakna serta bersejarah kerana di depan Presiden UMNO dan di Langkawi, beliau telah menerima saya dengan secara rasmi dan kembali ke pangkuan UMNO.

“Walaupun berita ini dapat dari Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui surat baru-baru ini tetapi dengan pada hari ini beliau memohon maaf pada Presiden UMNO serta memeluknya dan berjanji (setia),” katanya kepada UMNO Online di sini.

Seterusnya, Mohd Rawi berjanji akan berusaha untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat, Hisham Suhaily Othman yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Terdahulu pada Disember 2018 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mohd Rawi mengumumkan keluar UMNO bersama 30 ahlinya dan keputusan tersebut ekoran dirinya tewas dalam perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah itu pernah menjadi ADUN Ayer Hangat selama dua penggal. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit