Ikrar UMNO/BN Pertahan Kerajaan Demi Rakyat Dan Negara – Zahid

SEREMBAN, 9 Ogos – Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikrar untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat dan negara.

Jelas beliau, meskipun pelbagai dakwaan negatif diberikan kepadanya namun ia tidak melunturkan semangat selepas melihat komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cakna dengan masalah dihadapi rakyat.

“Saya kononnya sebagai Pengerusi BN dan Presiden dikatakan telah mematikan semangat Melayu dan Islam.

“Namun saya berjanji di bumi Negeri Sembilan ini bahawa BN akan bersama dengan PH dan GPS, GRS serta rakan-rakan lain.

“148 Ahli Parlimen akan mendukung Perdana Menteri, pada 12 Ogos ini kita akan menyaksikan bahawa rakyat telah sedar dalam tempoh lapan bulan pertama Perdana Menteri telah melakukan banyak tindakan yang sangat menjiwai semua perasaan rakyat.

“Mana ada seorang Perdana Menteri sebelum ini yang memikirkan soal tandas di sekolah-sekolah seluruh negara. Apatah lagi klinik dhaif saya yakin kalau tahun in ia akan telah diluluskan dan diubah serta dinaiktaraf,” ujar beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Jelajah Perpaduan Madani Negeri Sembilan yang diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan kepimpinan parti yang lain.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerjasama yang dijalin dalam membentuk Kerajaan Perpaduan ini dilakukan secara perbincangan dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Saya tak buat keputusan sendiri malah dilakukan kolektif iaitu berjemaah, pada malam itu bahawa 54 MKT bersetuju dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk UMNO bentuk kerajaan perpaduan bersama PH,” ujar beliau.

Tambah beliau, kerjasama ini juga semakin diterima oleh kedua-dua ahli parti komponen apabila mereka bersikap matang dalam berpolitik bagi memastikan kepentingan negara terpelihara.

“Kalau kita sama-sama elergik dan terus beremosi pasti tidak dduk sepentas satu khemah seperti malam ini, malah berjuang kerana mahu kestabilan politik terus berada di tanah air

“Kalau kita sama-sama alergik, dulu lawan tetap lawan sekarang lawan dah jadi kawan, buat apa kita berlawan, sekarang kita kukuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.