Bung Ingatkan Rakyat Kedah Pilih Pemimpin Yang Berwibawa Bukan Pemimpin Seperti Raja Lawak

KEDAH, 9 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa pengundi di negeri ini agar memilih calon yang dapat mewakili suara rakyat, bukan individu yang hanya tahu bercakap kasar, biadap dan lawak berlebihan umpama peserta Raja Lawak tanpa sebarang hala tuju jelas untuk membawa kemakmuran dan kesejahteraan.

Katanya pilihan raya enam buah negeri pada 12 Ogos ini bukanya pertandingan mencari pemimpin penghibur sebagaimana yang tular diaplikasi sosial TikTok iaitu dengan menggunakan bahasa celupar sehingga institusi Raja-raja Melayu pun disentuh.

“PRN (Pilihan Raya Negeri) kali ini kita bukan mencari dan memilih pemimpin ‘Rajak Lawak’ yang hanya popular di media sosial, TikTok dan sebagainya, tapi PRN kali ini kita memilih pemimpin dan kerajaan yang boleh membawa pembangunan dan kemajuan untuk kepentingan rakyat,” jelas Bung.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan siri jejalah dan ceramah di beberapa buah Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kedah antaranya PDM Taman Bemban Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, PDM Sungai Buluh DUN Bandar Baharu dan di PDM DUN Kuala Ketil, Baling.

Turut serta Pengarah Pilihan Raya BN Kedah, Datuk Osman Aziz; Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua Bahagian UMNO Parit Buntar Datuk Seri Nizar Zakaria dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, PRN kali ini rakyat seharusnya meletakkan niat dan tekad untuk mencari seorang pemimpin yang berwawasan, berkerja keras memajukan negeri, membawa pelabur dan memajukan ekonomi agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan sekali gus meningkatkan taraf siso-ekonomi masyarakat.

“Kita bukan memilih pemimpin yang beranggapan dirinya wira di media sosial atau TikTok, yang kita fikirkan ialah masa depan negeri dan rakyat Kedah… yang memerlukan pemimpin dan kerajaan yang berwawasan jauh membawa pembangunan mampan untuk kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Bung berkata, kesungguhan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk menang di negeri ‘Jelapang Padi’ ini bertujuan menjaga kebajikan rakyat.

“Kedah perlu dipimpin kerajaan yang seragam dan serasi dengan (kerajaan) Pusat supaya memudahkan pelaksanaan segala projek dirancang kerana sesetengahnya perlu sokongan kerajaan Pusat.

“Jadi, undilah wakil rakyat yang boleh membina dan memelihara dengan baik jambatan dengan Kerajaan Persekutuan, jangan sesekali memberi ruang kepada individu yang mewakili parti yang tidak sehaluan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.