Berbaki Tiga Hari, Bung Moktar Gesa Jentera BN Tingkatkan Kempen Sehingga Hari Terakhir

BAHAU, 9 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu jentera BN melipatgandakan usaha dan kerja sepenuhnya pada masa kempen hanya berbaki tiga hari lagi untuk menentukan semua calon BN/PH menang cemerlang.

Bung berkata, jentera BN mesti melipatgandakan usaha dan kerja bagi memastikan kemenangan semua calon Kerajaan Perpaduan yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Jentera BN dari Sabah perlu meningkatkan kerjasama dengan jentera tempatan bagi kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu calon BN bertanding begitu juga sebaliknya membantu calon-calon dari Pakatan Harapan (PH) di kawasan yang lain,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri ceramah perdana di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Bahau Negeri Sembilan di sini semalam.

Turut serta Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang Datuk Haslinda Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Labis Mohd Azahar Ibrahim.

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, jentera BN/PH dalam tempoh yang singkat ini perlu memperhebatkan usaha memutihkan kawasan kelabu yang sudah dikenal pasti dan memfokuskan beberapa kawasan kelabu yang cenderung untuk menyokong calon-calon Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, jentera BN/PH juga mesti digerak pada 12 Ogos ini agar semua pengundi keluar beramai-ramai mengundi.

“Sepanjang tempoh saya menjelajah ke beberapa PDM khususnya di Selangor, saya melihat kerjasama jentera BN/PH begitu baik dan momentum ini perlu diteruskan sehingga ke hari pengundian.

“Saya yakin peluang untuk mendapatkan kemenangan majoriti dua pertiga dengan lebih besar juga mampu diperoleh sekiranya tumpuan yang lebih diberikan kepada kawasan-kawasan kelabu,” katanya.

Bung menambah jentera BN/PH boleh meneruskan usaha memikat pengundi secara kempen fizikal yang menurut beliau mereka akan rasa lebih dekat dengan calon ketika berbual dari hati ke hati serta berkongsi masalah.

“Kempen secara fizikal dilihat masih menjadi pilihan terbaik dalam pusingan terakhir ini bagi ‘mencuri’ hati terutama golongan pengundi lama, baharu dan atas pagar,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua kaedah sama ada menerusi media sosial atau fizikal perlu seiring, namun dalam usaha menarik sokongan pengundi pada saat-saat terakhir ini berkempen secara fizikal dengan berkunjung dari rumah ke rumah dapat membentuk sentuhan peribadi kepada penduduk.

“Sudah pastinya pengundi mahu mengenali calon mereka dengan lebih dekat dan mengetahui apa yang ditawarkan kepada mereka oleh calon serta parti. Jadi saya melihat kaedah berkempen secara fizikal masih relevan,” katanya.

Bung menambah penggunaan semua medium media sosial pula lebih berpihak kepada anak muda terutama dengan pelaksanaan Undi18.

Dalam perkembangan yang sama, Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah meminta penduduk Sabah yang mengundi pada PRN kali terutamanya di Selangor dan lain-lain negeri yang terlibat agar tidak mensia-siakan peluang mereka mengundi dengan memilih calon-calon Kerajaan Perpaduan.

“Sudah pasti Kerajaan Perpaduan mempunyai visi untuk membawa pembangunan dan kemajuan selain memelihara kestabilan politik agar negara boleh bergerak maju ke hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit