Warga Felda Nikmati Manfaat Jika Pilih Kerajaan, Wakil Rakyat Yang Mampu Bela Nasib Mereka – Bung Moktar

PALONG, 8 Ogos – Warga Felda akan sentiasa menikmati pelbagai manfaat apabila memilih kerajaan dan wakil rakyat yang dapat membela nasib mereka, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Jelas beliau, ia terbukti dengan pelbagai inisiatif yang digerakkan saban tahun bagi meningkatkan taraf hidup peneroka Felda sejak BN menerajui pemerintahan negara dan misi ini diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini.

Justeru, beliau menegaskan warga Felda memerlukan sebuah kerajaan yang membela nasib mereka dan kerajaan juga mesti memberi perhatian terhadap masa depan dan kehendak warga Felda seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Ini merupakan hubungan tiga hala sebenarnya iaitu antara peneroka, Felda dan kerajaan yang mesti seiring kerana potensi yang besar dan harus diperjuangkan adalah rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program ceramah di Pusat Daerah Mengundi Felda Palong 2, Dewan Undangan Negeri (DUN) N7 Jeram Padang dekat sini, kelmarin.

Turut serta Ketua UMNO Bahagian Labuan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Mohd Rafi Alli Hassan dan MKT UMNO Datuk Lokman Adam.

Menurut Bung yang juga MKT UMNO, warga Felda seharusnya bersyukur kerana apa yang diperjuangkan oleh kerajaan sebelum ini telah mereka nikmati ini termasuklah pelbagai kemudahan asas seperti bekalan air, api dan jalan raya yang lebih baik bagi memastikan kesejahteraan.

Bung menambah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mengumumkan beberapa inisiatif dan insentif bertujuan meningkatkan kualiti hidup serta memelihara kebajikan warga Felda.

Insentif itu antara lain meliputi aspek penyediaan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendigitalan dan perumahan.

Antara diumumkan, Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) melibatkan peruntukan RM21.21 juta, pembinaan pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta, perbelanjaan untuk kos operasi lampu jalan melibatkan RM7.7 juta setahun dan subsidi diesel RM36 juta setahun bagi tiga Felda di Sabah.

Perdana Menteri juga turut mengumumkan program dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan dilaksanakan di 30 pusat ekonomi digital (PEDi) yang dikenal pasti di seluruh negara untuk menjadikan Felda peneraju transformasi digital menerusi program Digital Madani bagi memperkasa ekonomi gig.

“Tanggungjawab membantu warga Felda mampu dilaksanakan dengan lebih baik sekiranya kerajaan Pusat dan kerajaan negeri dapat bergerak sehaluan. Justeru amat penting bagi warga Felda menyokong calon-calon dari Kerajaan Perpaduan pada PRN (Pilihan Raya Negeri) kali ini bagi memastikan segala perancangan kerajaan untuk memajukan kawasan-kawasan Felda berjalan lancar.

“Felda memerlukan sokongan kerajaan, Felda bukannya seperti syarikat-syarikat perladangan yang hanya melihat untung rugi. Dia (syarikat) tidak fikir pasal sekolah, tidak fikir pasal jalan, masyarakat tetapi Felda perlu melihat menyeluruh dan ia memerlukan sokongan kerajaan, bukan sahaja kerajaan Pusat ia mesti juga mendapat sokongan kerajaan negeri.

“Kerajaan Pusat sudah ditentukan, itu tak boleh kita ubah sekarang, jadi kita mahukan kerajaan negeri yang seiring dengan kerajaan Pusat. Ini amat penting bagi membantu seluruh warga Felda itu sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit