Reezal Merican Mahu Kekalkan Pembangunan Bertam Bersifat Inklusif

BERTAM, 8 Ogos – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mahu mengekalkan pembangunan yang dirancang dan dibangunkan di kawasan itu bersifat inklusif merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

Kata bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu, menyedari golongan muda sebagai pewaris dan generasi masa hadapan, keperluan mereka juga menjadi keutamaan seperti isu pemilikan kediaman, tempat aktiviti riadah dan sebagainya. 

“Di peringkat Kepala Batas ini pun ada ikrar aku janji dan aku janji ini masih kekal termasuk juga membawa perumahan PPR (Projek Perumahan Rakyat) malah Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming meluluskan serta (upacara) pecah tanah. Demikian juga Kepala Batas Youth Center (KBYC) yang bernilai RM45 juta dan memulakan pembinaan sekitar beberapa bulan lagi serta mempunyai serba kemudahan.

“Bertam ini ada stadium padang sintetik, ‘indoor’ stadium, e-sport stadium yang berpiawaian antarabangsa, ‘skate boarding’, tempat penginapan untuk anak-anak muda yang datang dari tempat-tempat luar serta cafe-cafe hipster dan pejabat belia.

“Ia menjadikan Kepala Batas ini bukan hanya bandar tahap tinggi untuk semua pihak tetapi mesra belia. Sekiranya anak-anak muda lihat perkara ini ada di luar tapi sebenarnya semua perkara ini sudah ada di Kepala Batas dan merasakan agar mereka tidak tertinggal,” katanya ketika ditemui UMNO Online di sini.

Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas melihat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini berjalan dengan lancar dan baik serta penuh harmoni.

“Saya lihat bukannya di pihak BN (sahaja) malah di pihak lawan perang poster, bendera semuanya seimbang dan memberi reaksi bahawa demokrasi ini benar-benar segar dan bugar di bumi Bertam tanpa ada sebarang kekecohan,” katanya.

Tambah anak kelahiran Bertam itu lagi, beliau mengamalkan pendekatan berdampingan dengan rakyat agar mendapat maklumat dan isu-isu yang berkaitan permasalahan mereka dengan lebih tepat.

“Rakyat yang akan undi ini akan ada rasa percaya dan kenal pada calon, pernah lihat ‘track record’, perjalanan hubungan dengan rakyat tidak pernah tercalar. Semua ini memainkan peranan dalam pertimbangan untuk memberi undi.

“Saya anak Bertam serta lahir di sini serta sedikit sebanyak memberi ruang dan peluang serta lebih memahami berkaitan dengan isu-isu yang dibangkitkan. Keakraban dan hubungan ini menjadi sedikit kelebihan dalam menyakinkan pengundi untuk beri sokongan pada 12 Ogos nanti,” jelasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.