Rakyat Mengeluh Isu Air Dan Peluang Pekerjaan, Bukti Pas Gagal Tadbir Kelantan – Mohd Fakaarudin

MACHANG, 8 Ogos – Keluhan rata-rata rakyat Kelantan mengenai isu yang sinonim dengan mereka iaitu masalah air dan pekerjaan menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan bawah pentadbiran Pas Gagal mentadbir negeri itu dengan baik.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemuning, Mohd Fakaarudin Ismail berkata, pentadbiran Pas selama 33 tahun itu terlalu lama dan sepatutnya segala masalah itu telah dapat diselesaikan dalam tempoh mereka berkuasa.

“Keluhan yang kami sering dengar ialah masalah air biasanya seperti air tiada dan berkarat. Masalah yang sama dan mungkin berlaku di kawasan-kawasan lain juga.

“Selain daripada itu, peluang pekerjaan. Anak-anak muda menyuarakan bahawa selepas tamat persekolahan sama ada di peringkat menengah, universiti atau IPTA (institusi pengajian tinggi awam), mereka terpaksa berhijrah keluar daripada Kelantan kerana tiada pekerjaan.

“Ini antara yang kami dapati sepanjang tempoh berkempen ini dan kami lihat rata-rata apabila kami sampai di rumah hanya ada ibu ayah sahaja. Anak-anak semuanya dikategorikan sebagai pengundi luar. Ini menunjukkan kelemahan kerajaan negeri yang sepatutnya menjadi kepentingan untuk kerajaan negeri yang bertapak 33 tahun,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, sekiranya diberi mandat oleh rakyat DUN Kemuning, beliau berhasrat untuk menyelesaikan masalah peluang pekerjaan dan mewujudkan hub-hub perniagaan di kawasan tersebut.

“Kami tetap akan meletakkan satu matlamat sekiranya diberi mandat, kami akan mencari kaedah untuk perkara anak muda seperti yang saya maklumkan tadi.

“Sekiranya saya diberi mandat, pertama sekali saya akan mencari tempat untuk membina hub-hub perniagaan sama ada berbentuk ‘online’ ataupun ‘offline’ kerana bagi saya itu adalah salah satu cara untuk orang muda menambahkan pendapatan.

“Selain daripada itu, saya melihat Machang ini berpotensi sebagai tempat rekreasi. Kita telah ada bukit bakar dan banyak jeram. Sepatutnya ada jeram yang diberi nafas baharu untuk menarik pelancong datang ke sini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Fakaarudin turut membawa tekad untuk menyediakan pusat riadah kepada anak muda dan juga pusat-pusat kemahiran kepada kaum wanita.

“Untuk anak muda pula Saya melihat perlunya kita menyediakan pusat-pusat riadah seperti gelanggang futsal, ‘netball’ yang sepatutnya berada di setiap lokaliti untuk kemudahan orang muda.

“Kita juga boleh wujudkan pusat-pusat kemahiran untuk ibu tunggal dan wanita muda. Mungkin apabila mereka ini diberi kemahiran yang sesuai, mereka boleh menambah pendapatan.

“Perkara tersebut akan menjadi perkara utama setelah saya bersama rakan-rakan sekiranya dapat membentuk kerajaan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru rakyat di negeri Kelantan khususnya untuk memilih Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) demi membentuk kesejahteraan rakyat di negeri tersebut.

“Pesanan saya mudah, pilihlah BN-PH, Kerajaan Perpaduan kerana kita perlu selari antara negeri dan pusat. Demi perpaduan, kesejahteraan rakyat kelantan khususnya.

“Di DUN Kemuning, saya memohon semua pengundi untuk memilih saya sebagai wakil kepada semua masyarakat di DUN ini. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik, bertanggungjawab dan amanah sekiranya saya diberi mandat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.