Rakyat Lihat PRN Peluang Terbaik Ubah Pentadbiran Di Kelantan – Wan Rosdy

RANTAU PANJANG, 8 Ogos – Rakyat di negeri Kelantan merasakan ini adalah peluang terbaik untuk mengubah kerajaan negeri tersebut yang sudah bertapak selama 33 tahun dengan tidak membawa banyak perubahan dari segi pembangunan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, angin perubahan sudah mula kelihatan di Kelantan apabila anak-anak muda turut bersama mereka pada setiap siri ceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

“Aktiviti saya bermula daripada semalam di Bunut Payong. Alhamdulilah sambutan begitu hangat sekali walaupun lewat masih ramai yang menunggu dan sambung pula di kedai Pintu Geng.

“Nampak semangat kali ini luar biasa, angin perubahan itu tertonjol dengan jelas kerana mereka sendiri mengatakan bahawa 33 tahun itu satu tempoh masa yang lama dan tidak membawa banyak sangat perubahan.

“Kita nak kata tiada langsung perubahan itu mustahil tetapi tidak sepatutnya masalah air tidak dapat diselesaikan, jalan, infrastruktur, rumah, tanah dan sebagainya,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang percaya bahawa rakyat mahukan perubahan demi masa depan negeri Kelantan yang lebih baik.

“Mereka merasakan ini adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan demi rakyat Kelantan dan yang lebih penting saya percaya mereka menginginkan kerajaan yang selari dengan pusat.

“Saya harap ianya dapat diterjemahkan dan pada hari ini saya pergi ke Pengkalan Kubor dan Rantau Panjang, kemudian ke Gual Periok, saya nampak semangat rakyat begitu tinggi berbeza dengan keadaan Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

“Kita nampak angin itu sehingga tidak boleh sentuh anak-anak muda. Pada kali ini kita lihat anak-anak muda bersama kita,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) adalah tawaran yang terbaik kepada rakyat.

“Saya sangat bersetuju sebab Kelantan merupakan negeri pembangkang sudah tentu kita perlu tunjuk kepada rakyat apa yang kita boleh berikan kepada rakyat dalam bentuk tawaran.

“Manifesto yang ditawarkan kepada rakyat sangat baik, contohnya seperti pasangan kahwin kali pertama dapat RM2,000, diskaun cukai dan sebagainya. Itu adalah perkara baik yang rakyat Kelantan perlu ambil kesempatan untuk mengubah kerajaan.

“Berbeza dengan Pahang, sebab kami negeri kerajaan jadi kita boleh laksanakan apa jua dasar. Saya di Pahang, kita buat dulu baru kita cakap. Berbeza di sini, kita belum jadi kerajaan lagi.

“Apa yang lebih menarik, pemberian sumbangan perkahwinan di negeri Kelantan lebih tinggi daripada negeri Pahang. Pahang bagi RM300 sahaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar para pengundi di Kelantan keluar mengundi pada 12 Ogos ini dan mengundi calon-calon Kerajaan Perpaduan.

“Terutama sekali kepada para pengundi di negeri Kelantan, pada 12 Ogos ini keluarlah mengundi ramai-ramai, undilah calon Barisan Nasional dan Pakatan Harapan untuk mengubah kerajaan.

“Saya percaya dengan adanya perubahan nanti faedah dan manfaatnya akan dapat semua kepada rakyat kelak. Semua tawaran tersebut adalah aku janji, bukan semata-mata untuk menyedapkan hati kita. Itu adalah satu perkara dinyatakan secara hitam putih yang membolehkan rakyat menuntut kembali apabila BN memerintah.

“Jangan fikir banyak, 33 tahun masa yang terlampau panjang kita telah berikan peluang kepada Pas, sekarang ini masanya untuk kita ambil alih dan memberi khidmat kepada rakyat, kembalikan segala sokongan rakyat. Insya-Allah kita akan dapat membentuk kerajaan selepas PRN ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.