Politik Persepsi, Manipulasi Muncul Kembali, Tolak Permainan Jahat Demi Kestabilan Dan Kemakmuran – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 8 Ogos – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta rakyat khususnya para pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menolak politik jahat yang memainkan sentimen kebencian, manipulasi fakta dan menimbulkan pelbagai persepsi negatif.

Katanya, sememangnya ia adalah taktik pihak lawan yang sentiasa cuba menggugat kestabilan dan kemakmuran yang ditawarkan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan.

“Lihat bagaimana mereka memainkan sentimen agama, syurga dan neraka yang berkait dengan undi, soal siapa lebih Islam atau tidak dan sebagainya sedangkan kita dalam UMNO sentiasa meletakkan Islam tempat yang tinggi malah BN tidak menjadikan agama modal politik.

“Sekarang muncul pula kononnya kerajaan Pusat akan berubah sekiranya Perikatan Nasional (PN) dapat menang PRN walhal ia tak berkait langsung.

“Kerajaan Pusat tidak akan berkait dengan apa-apa keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) namun pengundi perlulah bijak untuk selarikan pentadbiran DUN dengan kerajaan Persekutuan, sama-sama bentuk Kerajaan Perpaduan agar pembangunan dapat dilaksana dengan lancar,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, dakwaan kononnya akan berlaku lompat parti melibatkan ahli-ahli Parlimen juga adalah dakwaan yang salah.

“Ini bukan mainan, apa-apa yang kita lakukan memberi kesan kepada keseluruhan pentadbiran negara malah kerajaan yang ada sekarang ini kukuh dengan sokongan 148 kerusi dari 19 parti-parti politik termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Kerana itu, pengundi jangan terpedaya dengan mainan sentimen tidak benar, tindakan negatif yang diaplikasi untuk mendapatkan sokongan pengundi tanpa memikirkan masa hadapan rakyat dan negara.”

Dalam hal ini Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya mengajak pengundi untuk menjadikan Parlimen Putrajaya yang ditadbir oleh wakil rakyat dari PN sebagai contoh terbaik untuk dinilai.

“Sudah lebih sembilan bulan Pilihan Raya Umum (PRU) berlalu namun sehingga kini rakyat Putrajaya masih ternanti-nanti janji ‘era baharu’ yang dicanangkan namun gagal dilaksana. Lebih teruk lagi apabila pusat khidmat Ahli Parlimen Putrajaya pun hanya dilaksana secara dalam talian sahaja.

“Sekarang Putrajaya menjadi pembangkang dalam tadbiran Pusat iaitu Kerajaan Perpaduan dan yang rugi adalah rakyat kerana wakil rakyatnya banyak alasan termasuk kononnya bukan kerajaan, bukan menteri dan sebagainya.

“Sebab itu, nak pilih pemimpin… nak pilih wakil rakyat lihat kepada fakta dan bukan hanya auta,” katanya lagi.

Sabtu ini akan berlangsung hari mengundi PRN di Kelantan,Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.